Pilih BN Teruskan Momentum Kestabilan Politik, Sokong Agenda Maju Johor – Mohd Jafni

KLUANG, 21 Sept – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sangat penting bukan hanya kepada parti tetapi juga untuk pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.

Exco Kerajaan Negerinya (Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, biarpun keputusan kalah atau menang dalam PRK ini tidak akan mengubah kerajaan negeri namun ia menjadi bukti kepada sokongan untuk kestabilan politik dan keutuhan perpaduan yang diterapkan dalam Agenda Maju Johor.

“Kestabilan politik mencipta kepastian bagi pelabur dan pengusaha. Perniagaan cenderung lebih suka beroperasi dalam lingkungan yang tidak terganggu oleh konflik politik atau ketidakpastian undang-undang. Ia adalah penting dalam menentukan kemasukan FDI yang tinggi kerana ia adalah aktiviti pelaburan jangka panjang dan sebarang bentuk gangguan tidak menggalakkan kemasukan FDI.

“Malah kestabilan politik juga kekal menjadi bahagian penting dalam pembangunan Negara dan Negeri memandangkan tiada pelabur asing akan berminat untuk melabur di Johor jika situasi politik adalah tidak stabil.

“Kestabilan politik memberikan jaminan kepada pelbagai pihak berkepentingan seperti pelabur asing begitu juga pelabur tempatan,” katanya kepada UMNO Online.

Tegas beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kulai merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, apabila sokongan rakyat dibuat kepada BN dalam PRK ini maka ia akan memberikan petunjuk bahawa ada keyakinan terhadap kerajaan yang mentadbir.

“Jangkaan kestabilan ekonomi akan memberikan peluang pihak berkepentingan membuat perancangan memajukan perniagaan masing-masing dan ini secara langsung membantu kerajaan Negeri membabitkan sektor swasta supaya dapat sama-sama merancang untuk memulihkan ekonomi negeri dan negara.

“Apatah lagi ketika ini Kerajaan Negeri Johor sedang mengorak langkah yang cukup besar dalam ekonomi iaitu pembangunan Johor Singapore Special Economi Zone (JSEZ) dan Special Financial Zone (SFZ) yang menarik begitu banyak pelabur.

“Kemenangan PRK Mahkota untuk Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dari BN dan disokong oleh rakan-rakan dari Pakatan Harapan akan mengukuhkan lagi keyakinan pelabur kepada Negeri Johor sendiri,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Mohd Jafni menekankan soal perumahan yang merupakan antara agenda penting dalam Maju Johor.

“Secara ringkasnya, Dasar Mampu Milik Johor telah berkuatkuasa dengan setiap pembangunan perlu menyediakan 40 peratus rumah mampu biaya yang mana harganya adalah RM50 ribu, RM100 ribu, RM150 ribu, RM250 ribu dan RM300 ribu dengan permohonan adalah melalui sistem dalam talian e-rumah Johor dan penawaran dibuat oleh Kerajaan Negeri Johor.

“Untuk tempoh 2022-2026 di Daerah Kluang sahaja kita telah menyasarkan 4,369 unit siap dibina iaitu 874 telah siap sehingga Ogos tahun ini, 546 unit akan siap iaitu pembinaan sekitar 90 peratus, 1,297 unit dalam pembinaan dan 1,652 unit akan dibina.”

Justeru katanya, perancangan perumahan di Kluang ini memerlukan sokongan daripada semua pihak khususnya rakyat termasuklah para pengundi di DUN Mahkota.

“Sokongan anda semua kepada BN pada PRK kali ini adalah tanda sokongan anda kepada Agenda Maju Johor yang digagaskan oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. Satu undi untuk Syed Hussien bermakna satu undi untuk Agenda Maju Johor dan tanda sokongan kepada kerajaan,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.