Malaysia Tampil Dengan Tiga Tema Utama Di UNGA Ke-79 Dan Summit Of The Future
KUALA LUMPUR, 21 Sept – Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sesi Ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 2024) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan, dari 21 hingga 28 Sept 2024 di New York, Amerika Syarikat.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, Sesi Debat Umum UNGA 2024 akan bermula pada 24 Sept, manakala Summit of the Future (SOTF) akan berlangsung pada 22 dan 23 Sept.
“Menteri Luar akan menyampaikan Kenyataan Negara di SOTF pada 22 Sept (2 pagi waktu Malaysia) dan di Debat Umum pada 28 Sept 2024 (11 malam waktu Malaysia).
‘Kedua-dua sesi itu akan ditayangkan secara langsung melalui UN WebTV (https://webtv.un.org/en),” menurut kenyataan itu.
Kementerian Luar Negeri yang turut dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa pendekatan Malaysia di PBB akan berteraskan tiga tema utama iaitu, “Mempertahankan Prinsip, Menerima Reformasi dan Mengukuhkan Kerjasama”.
Malaysia akan menekankan prinsip-prinsip asas yang terkandung dalam Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa serta menyeru untuk pelaksanaan reformasi kerangka global, bagi mempertahankan dan mengangkat multilateralisme serta kedaulatan undang-undang antarabangsa.
“Bagi mencapai matlamat ini, Malaysia juga akan menggalakkan pengukuhan kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Menteri Luar juga akan menyertai beberapa mesyuarat peringkat tinggi termasuk ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Komanwel, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), G77 dan China, World Economic Forum (WEF) dan G20,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra turut menekankan isu-isu yang akan diberi penekanan termasuk merapatkan jurang pembangunan antara Negara-negara Membangun (Global South) dan Negara-negara Maju (Global North), serta tindakan susulan kepada keputusan Pendapat Nasihat oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa berkaitan Palestin.
Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia akan memberi penekanan kepada tindakan-tindakan bagi mengukuhkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran melalui kerjasama dengan PBB dan organisasi- organisasi antarabangsa yang lain.
Sebagai Negara Anggota PBB sejak 17 Sept 1957, Malaysia mengulangi sokongannya yang tidak berbelah bahagi terhadap multilateralisme dan komitmen kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran global, menurut Wisma Putra. – BERNAMA