UMNO Putatan Prihatin, Minta Penduduk Sentiasa Waspada Ancaman Ribut
PUTATAN, 20 Sept – Penduduk di kawasan ini dan sekitarnya dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling memandangkan hujan ribut yang melanda beberapa buah daerah di negeri ini sejak beberapa hari lalu.
Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed berkata, langkah berwaspada, terutamanya mereka yang tinggal berhampiran kawasan pantai ekoran kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa kawasan di Sabah sejak dua hari lepas.
Antara kawasan yang terlibat termasuk di kawasan pedalaman Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan manakala di Pantai Barat ialah Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Kota Belud selain Kudat serta Wilayah Persekutuan Labuan.
“Saya berharap penduduk di kawasan ini dan sekitarnya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, terutamanya bagi mengelakkan risiko banjir kilat, tanah runtuh, dan pokok tumbang,” katanya ketika ditemui selepas bergegas ke Pulau Gaya bagi meninjau beberapa buah rumah penduduk di kampung tersebut yang terjejas akibat ribut yang melanda baru-baru ini.
Jeffery bersama rombongan UMNO Bahagian Putatan menaiki bot dalam keadaan hujan dan ribut ke Pulau Gaya semata-mata untuk meninjau sendiri keadaan rumah penduduk yang terjejas teruk ekoran ribut yang melanda.
“Kita bersimpati dan ini merupakan musibah yang tidak dijangka, UMNO bahagian akan membantu setakat termampu bagi meringankan beban mangsa yang terlibat untuk membaiki kerosakan kecil rumah mereka yang boleh dilaksana segera,” katanya.
Beliau juga berharap pihak berkenaan khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.
Dalam pada itu Jeffery yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah turut mengingatkan orang ramai agar aktiviti luar serta perjalanan termasuk nelayan dinasihatkan agar menangguhkanya seketika sehingga keadaan cuaca kembali stabil.
Katanya, orang ramai perlu sentiasa memantau perkembangan cuaca melalui laman web rasmi MetMalaysia atau aplikasi mudah alih, serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan jika keadaan bertambah buruk.
“Penduduk juga dinasihatkan agar menjauhi kawasan pantai, kawasan bangunan yang tidak kukuh dan kawasan lapang bagi mengelak kejadian yang tidak diingini serta tidak meletakkan kenderaan di kawasan yang berpokok kerana banyak kejadian dilaporkan kenderaan dihempap pokok,” katanya.
Dalam pada itu Jeffery juga meminta pihak berkuasa khususnya Dewan Bandar Raya Kota Kinabalu agar sentiasa memantau pokok-pokok yang ditanam di laluan utama di beberapa batang jalan raya di sekitar Kota Kinabalu yang berisiko tumbang dan patah agar dapat ditebang atau dipotong – UMNO Online
Oleh: Jaafar Abd Wahid