UMNO Kedah Simpati Bencana Banjir Dan Ribut Melanda, Kerajaan Pusat Salur Bantuan Awal

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah Datuk Saiful Hazizy Zainol Abidin meluahkan rasa simpati terhadap rakyat negeri Kedah yang dilanda bencana banjir dan ribut.

Beliau yang juga Jurucakap Khas Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah berkata tindakan pantas Kerajaan Pusat dalam menyalurkan bantuan awal sebanyak RM1,000 dapat meringankan beban mangsa banjir dan bencana banjir.

“UMNO Kedah menyambut baik tindakan pantas Kerajaan Pusat menyalurkan bantuan awal sebanyak RM1,000 kepada semua mangsa banjir dan bencana di negeri Kedah. UMNO Kedah bersimpati dan turut berduka akan bencana banjir dan ribut yang sedang melandan negeri ini.

“UMNO Kedah juga amat berharap agar Kerajaan Pusat dapat dengan kadar segera menyalurkan bantuan kepada seluruh petani dan peniaga-peniaga kecil yang sangat terkesan dengan bencana dan musibah yang sangat tidak diduga ini.

“UMNO Kedah juga memohon agar pihak Kerajaan Persekutuan dan negeri memastikan dan mencari kaedah terbaik bagi mempercepatkan apa jua bentuk bantuan kepada mangsa banjir tanpa sebarang kerenah ‘birokrasi’ serta prosedur-prosedur yang sangat membebankan,” katanya menerusi satu hantaran.

Saiful yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok mengajak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bersatu padu tenaga membantu rakyat dan mengetepikan perbezaan politik.

“UMNO Kedah mengajak agar kedua-kedua jentera dipihak Kerajaan Persekutuan mahupun negeri dapat sama-sama menggembleng tenaga membantu rakyat dan pada masa yang sama mengetepikan apa jua perbezaan politik dalam menghadapi saat yang sangat menduga ini,” katanya lagi.

Terdahulu enam daerah di negeri ini dilanda banjir berikutan hujan berterusan selama dua hari sejak Isnin lalu dan daerah yang terjejas teruk daerah Kota Setar, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pendang, Kuala Muda dan Kulim.

Manakala beberapa daerah turut mengalami ribut dan angin kencang menyebabkan beberapa kawasan dilaporkan berlakunya pokok tumbang. Antaranya di daerah Sik, Yan, Gurun, Kuala Muda dan beberapa kawasan sekitar Kuala Kedah, Kuala Nerang dan Simpang Kuala (Kota Setar). – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit