Perkasa Usahawan, Perumahan Fokus Syed Hussien Jika Diberi Mandat

KLUANG, 20 Sept – Aspek perumahan dan pembangunan usahawan antara fokus yang akan diketengahkan calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah jika diberi mandat oleh pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota 28 Sept ini.

Syed Hussien, 40, berkata dua aspek itu penting untuk kesejahteraan rakyat, selain membawa impak ekonomi, selari dengan agenda diketengahkan kerajaan negeri, Maju Johor yang dilancarkan tahun lepas dengan matlamat kemajuan negeri bukan hanya daripada ekonomi, malah secara holistik.

 

Menyentuh isu usahawan, Syed Hussien yang juga Ketua Pemua UMNO Kluang melihat keperluan untuk mewujudkan pangkalan data yang dapat membantu sebagai rujukan agensi atau jabatan berkaitan bidang itu supaya bentuk bantuan atau latihan lebih spesifik dapat diberikan.

“Untuk menghasilkan pangkalan data seperti ini, saya berpendapat kita perlu sentiasa turun padang, bertemu seramai mungkin dari kawasan ke kawasan untuk mendengar sendiri permasalahan atau pandangan mereka, kerana pasti usahawan terbabit mempunyai perkara berbeza untuk diketengahkan.

“Contoh soal keperluan usahawan, ada memerlukan permis, ada pula mahu bantuan pinjaman kewangan atau mesin, bergantung kepada bentuk perniagaan diusahakan. Ini antara perkara yang kita perlu angkat dan kumpul supaya boleh diselesaikan secara kolektif dengan bantuan agensi berkaitan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

“Kita mempunyai lebih daripada 3,000 hingga 4,000 rumah yang sudah dan sedang dibina bagi menampung keperluan masyarakat Kluang termasuk di DUN Mahkota. Perumahan antara perkara yang sudah lama kita (kerajaan negeri) usahakan bagi membantu penduduk,” katanya.

Walaupun berdepan pertembungan satu lawan satu pada PRK itu berbanding persaingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Syed Hussien berkata ia bukan alasan untuk beliau mengambil mudah atau memandang ringan lawan.
Dalam perkembangan lain, semasa ditanya mengenai kemungkinan jumlah peratusan keluar mengundi menurun disebabkan cuti sekolah baru tamat iaitu seminggu sebelum hari mengundi, Syed Hussien percaya pengundi DUN Mahkota sedar keperluan untuk menunaikan kewajipan mereka.

“Penduduk Kluang sedar mereka akan menentukan masa depan DUN Mahkota dan saya dapat rasakan mereka (pengundi) akan memberikan kerjasama baik dengan keluar mengundi,” katanya yang akan mempergiatkan kempen untuk mendekati seramai mungkin pada minggu kedua kempen bermula esok. PRK DUN Mahkota akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas. Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan DUN Mahkota mempunyai 66,318 pengundi terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera dan pasangan, 401 polis dan 10 PTH (pengundi tidak hadir) luar negara. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit