Kerajaan Negeri Tekad Teruskan Misi Bantuan Kasih Johor-Palestin

KLUANG, 20 Sept – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan Tabung Kasih Johor-Palestin telah berjaya mengumpul kutipan sebanyak RM2.5 juta setakat ini.

Bersama MAHAR ujar Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, penyaluran bantuan kemanusiaan akan disampaikan secara berperingkat.

“Misi Bantuan Kasih Johor-Palestin dibahagikan kepada empat fasa utama iaitu Fasa Pertama: Penghantaran barangan bantuan dari Johor dengan peruntukan RM500,000 untuk 20,000 penerima; Fasa Kedua: Dapur Ihsan Johor dengan peruntukan RM427,500 bagi 75,000 orang.

“Fasa Ketiga: Barangan makanan dari Kaherah dengan peruntukan RM700,000 untuk 20,000 penerima dan Fasa Keempat: Kampung Johor dengan peruntukan RM372,500 bagi 1,250 penerima,” katanya menerusi satu perkongsian di Laman Facebook.

Tambah Onn Hafiz lagi, melalui keempat-empat fasa ini, Misi Bantuan Kasih Johor-Palestin bukan sahaja memberi bantuan material, tetapi juga harapan dan sokongan moral kepada warga Palestin.

“Kerajaan negeri bertekad untuk meneruskan usaha ini, memastikan setiap bantuan yang disalurkan memberi impak positif dalam kehidupan mereka yang memerlukan.

“Saya berharap semua pihak dapat terus menyokong usaha ini dan bersama-sama kita mendoakan agar Allah SWT menggantikan segala penderitaan dan ketidakadilan ini kepada cahaya kemenangan dan keamanan,” katanya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz bersyukur kerana Bangsa Johor dari segenap pelusuk negeri bersatu hati bersolidariti untuk Palestin dalam Program Semarak Subuh Perdana dan Tabung Kasih Johor-Palestin di Masjid Jamek Taman Kasih, di sini pagi tadi.

“Pada kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang bersama-sama menyokong misi ini. Semoga Allah memberkati segala usaha kita. Insya-Allah,” katanya.

Ulas Onn Hafiz juga, kekejaman dan penindasan masih berlaku di bumi Palestin sehingga hari ini.

“Statistik menunjukkan bahawa sejak 7 Oktober 2023 hingga 16 September 2024, seramai 41,226 orang terkorban dan 95,413 mengalami kecederaan.

“Dalam tempoh satu jam di Gaza, seramai 15 orang terbunuh, termasuk 6 kanak-kanak,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.