HAWA Lestari: Kluang Attack Pelopor Program Kelestarian Alam Sekitar, Fokus Kitar Semula – Shahrizat

KLUANG, 20 Sept – Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata program HAWA Lestari: Kluang Attack adalah pelopor kepada program kelestarian alam sekitar dan fokus kepada pengumpulan barangan kitar semula.

Ujar Shahrizat, kempen tersebut perlu diperhebatkan dan dipopularkan agar akhirnya dapat mendidik masyarakat pentingnya mengurangkan penghasilan bahan sisa dan penyertaan setiap anggota komuniti amat diperlukan.

“HAWA Lestari ini sangat menarik. Ia satu konsep kita perlu pelopori dan kita popularkannya. Jika kita buat program dengan konsisten ia akan dapat menambat hati rakyat nanti.

“Ia satu program yang mudah sebenarnya. Kita bawa kesedaran, pendedahan tentang bagaimana untuk kita kitar semula bahan-bahan ini amat penting sekali dan menjadikan ia amalan harian.

“HAWA Malaysia bersama-sama dengan kedua-dua entiti ini (Global Law Thinkers Society – GLTS dan CLNR). Program HAWA Lestari ini adalah program kelestarian dan antara matlamat atau petunjuk prestasi utama (KPI) adalah untuk menentukan alam sekitar kita jaga dengan sebaiknya,” katanya kepada UMNO Online sambil mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi HAWA Lestari Hasrunizah Hassan atas inisiatif yang dilaksanakan itu.

Pada Khamis, Shahrizat melancarkan HAWA Lestari: Kluang Attack di Kampung Melayu Timur 2, di sini yang juga dijadikan sebagai tempat pengumpulan barangan kitar semula.

Hadir sama Timbalan Pengerusi HAWA Malaysia Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ahli Majlis HAWA Malaysia; Datuk Seri Norliza Abdul Rahim; Datuk Halimah Mohamed Sadique; dan beberapa Pengerusi HAWA negeri.

Lokasi pusat pengumpulan barangan kitar semula turut disediakan di Taman Ilham, Taman Suria dan Kampung Mesjid Lama di sini.

Program HAWA Malaysia ini turut mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Global Law Thinkers Society (GLTS) dan CLNR.

Masyarakat tanpa mengira sama ada penduduk bandar atau kampung katanya perlu diterapkan kesedaran kesan jika tidak mengambil berat pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar.

“Kalau kita tengok cuaca masa kini, di sana-sini tidak menentu dan tidak boleh dijangka kaji cuaca. Ini semua berpunca daripada kita sebagai manusia tidak menjaga alam dengan begitu baik.

“Kita boleh mula mahupun dari kampung atau bandar dengan menentukan kita ada program-program kitar semula, sangat mudah… janganlah kita nak buang semua, sumbatkan sistem saliran… ini akan membantutkan kebersihan kawasan setempat dan mampu memberi kesan hingga kepada ke tahap dunia,” katanya lagi.

Tambah Shahrizat lagi, program yang dianjurkan ini akan diperluaskan ke seluruh negara dan diuruskan oleh Pengerusi HAWA Lestari di setiap negeri.

Manakala berhubung dengan HAWA Malaysia, Shahrizat menjelaskan ia adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalankan aktiviti-aktivitinya.

“Kita adalah badan NGO dan kita punya SOP mesti turun padang terutamanya membawa visi dan misi kerajaan. Keduanya program yang kita buat bekerjasama dengan NGO dan masyarakat sivil.

“Jadi hari ini kita bekerjasama dengan GLTS dan Syarikat CLNR. Ini satu gabungan yang sungguh mantap sekali, Alhamdulillah,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit