SUKMA 2024: Kerajaan Negeri Pahang Sampaikan Insentif Kepada Para Atlet
KUALA LUMPUR, 19 Sept – Kerajaan Negeri Pahang telah menyampaikan insentif kepada para atlet yang berjaya memperoleh pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang melabuhkan tirainya pada 24 Ogos lalu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan itu diberikan untuk menghargai pencapaian para atlet semasa temasya sukan tersebut berlangsung.
“Saya rasa amat bertuah kerana dapat bertemu dengan wira-wira kebanggaan Negeri Pahang yang telah berjuang dalam temasya SUKMA XXI Sarawak 2024 baru-baru ini dalam Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan, semalam.
“Saya melihat wajah-wajah ceria atlet Pahang yang telah menyumbang 23 pingat Emas, 21 Perak dan 32 Gangsa.
“Untuk menghargai sumbangan para atlet ini, Kerajaan Negeri telah menyerahkan insentif kemenangan berjumlah RM570,000 kepada 161 atlet dan pengurus serta jurulatih,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berharap agar sumbangan tersebut akan memberi suntikan semangat buat para atlet bagi menghadapi SUKMA Selangor yang akan berlangsung pada tahun 2026.
“Insentif ini adalah tanda penghargaan yang tulus ikhlas Kerajaan Negeri Pahang dalam menghargai segala usaha yang telah dicurahkan oleh para atlet dalam temasya sukan dwi tahunan itu.
“Semoga para atlet terus berusaha dan berlatihlah bersungguh-sungguh dengan penuh semangat dan dedikasi yang tinggi bagi menghadapi SUKMA Selangor 2026. Pahang Prihatin, Rakyat Makmur,” katanya.
Untuk rekod, SUKMA yang berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos lalu mempertandingkan 488 acara yang terdiri daripada lelaki (236), wanita (217), campuran (35) untuk 37 jenis sukan. – UMNO Online