Pilih Wakil Rakyat Berkredibiliti Jadi Mata, Telinga… Mampu Teruskan Pembangunan

KLUANG, 19 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berharap pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota untuk matang memilih wakil rakyat yang berkredibiliti membawa agenda pemerkasaan di kawasan terbabit.

Katanya, ini kerana sebagai calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah daripada parti yang mentadbir di peringkat negeri dan Persekutuan sudah tentunya mempunyai akses dalam memberikan khidmat terbaiknya buat warga Mahkota.

“Rakyat dalam DUN Mahkota memerlukan seorang wakil yang boleh memberikan telinga, tangan, bantuan dan menjadi jambatan kepada segala permasalahan rakyat.

“Sebab itu saya sebutkan bahawa di belakang Syed Hussien ada sebuah kerajaan negeri yang mana semua orang tahu yang Datuk Onn Hafiz Ghazi adalah seorang Menteri Besar yang memang dikasihi bekerja kuat untuk rakyat.

“Juga ada kerajaan Persekutuan yang ditunjangi oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN),” katanya.

Megat Zulkarnain berkata demikian ketika ditemui media pada Program Tiupan Semangat PRK Mahkota Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di Dewan Sharifah Azizah, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata pembangunan Mahkota penting kerana ia mempengaruhi sosioekonomi rakyat setempat pada masa depan.

Menurut beliau, memilih wakil rakyat daripada pembangkang tidak akan membawa sebarang perubahan kepada Mahkota.

“Sebab itu untuk memilih nanti adalah merupakan satu perkara yang penting. Memilih bukan kerana mengikut emosi, mempercayai fitnah, memilih kerana nak lihat selepas itu.

“Kalau PN menang akan menjadi adun pempangkang. Bagaimana perkhidmatan yang boleh diberikan kepada rakyat di DUN Mahkota selepas itu?

“Sebab itu saya yakin tanpa mengambil kira ini adalah kerusi tradisi atau kekuatan UMNO namun kita terus bekerja kuat,” ujar beliau.

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang bakal berlangsung pada 28 Sept ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien, 40, dan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom di sini pada 2 Ogos lepas. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.