MoU Kerajaan Perpaduan: Kerana Ego Politik, Rakyat Kawasan Pembangkang Rugi

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan beranggapan bahawa kerana ego politik, rakyat di kawasan Ahli Parlimen pembangkang menanggung kerugiannya.

Ini kerana katanya, tindakan Perikatan Nasional (PN) menolak memorandum persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan mengenai peruntukan Ahli Parlimen pembangkang dilakukan dengan menggunakan alasan tidak wajar.

“Tidak setujunya PN terhadap draft MoU ini adalah kerana mereka mengatakan langgar hak perlembagaan, tata susila sosial kebudayaan dan hak asasi Ahli Parlimen pembangkang melaksanakan tugas mereka.

“Memang agak mengejutkan apabila digunakan sebab-sebab ini kerana tidak seharusnya peruntukan itu dikatakan mengekang hak-hak tugas Ahli Parlimen pembangkang. Tapi apabila Timbalan Perdana Menteri mendedahkan MOU sebenar, sebenarnya tiada pun kekangan yang dikenakan.

“Cuma kekangan yang dibising-bisingkan oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan juga pengurusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin adalah dikatakan tidak dibenarkan menggunakan isu 3R (raja, agama, bangsa). Sebenarnya tidak ada dalam draf itu. Cuma dinasihatkan apabila menggunakan isu ini, berhati-hati kerana sensitivitinya mesti dijaga,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, PN dilihat terdesak untuk menggunakan isu 3R bagi menjalankan modus operandi mereka dalam mendapatkan sokongan rakyat terutamanya yang beragama Islam dan berbangsa Melayu.

“Kita faham kenapa PN merasa gusar tentang perkara ini. Modus operandi mereka ialah menggunakan isu 3R untuk meraih simpati politik. Boleh gunakan, tak ada masalah. Tetapi gunakanlah secara berhemat dan tidak mengganggu sensitiviti kumpulan lain. Itu saja draf tersebut mahukan.

“Maksudnya, kerajaan mahu mereka menjadi pembangkang yang baik, ‘check and balance’ kepada kerajaan. Tan Sri Muhyiddin juga mengatakan, kalaulah Kerajaan Perpaduan draf ataupun mengubah dasar yang pro-LGBT, pihak pembangkang tidak boleh membangkangnya. Tidak ada pun dalam draf itu.

“…tetapi menyebut bahawa hak asasi yang saksama mesti diberikan kepada semua individu rakyat Malaysia. Itu saja ditekankan. Katakanlah Kerajaan Perpaduan nak draf satu proposal cadangan dasar yang pro-LGBT, saya rasa awal-awal lagi dalam perbincangan kabinet dah lama kena tolak. Sudah pasti UMNO dan Amanah akan menentangnya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa tindakan PN menolak MoU tersebut disebabkan mereka tidak mahu dilihat sebagai tunduk dan bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan.

“Jadi, bagi saya ini saja alasan mereka untuk tidak mahu menerimanya. Mereka tidak mahu dilihat sebagai tunduk dan bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan. Lebih-lebih lagi kerana ego politik mereka. Tetapi yang rugi bukan kerajaan persekutuan.

“…yang untungnya juga bukan pembangkang. Tapi yang ruginya adalah penduduk dalam kawasan parlimen pembangkang.

“Ini kerana Pas dan PPBM tidak mampu membantu dari segi kewangan ataupun kerajaan negeri. SG4 itu tidak mampu untuk membantu parlimen pembangkang. Tapi itulah, kerana ego politik yang ruginya adalah penduduk kawasan parlimen tersebut,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.