Mahkota Cerminan Realiti Pelbagai Bangsa, Terus Bekerja Demi Kemenangan BN – Mohd Zaidy

KLUANG, 19 Sept – Jentera-jentera Perpaduan yang bekerja di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota perlu memastikan calon Barisan Nasional (BN) menang bagi membuktikan bahawa penerimaan rakyat terhadap tawaran kestabilan dan kemakmuran yang diaplikasi diterima dengan baik.

Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir yang turut sama membantu dalam kempen di PRK terbabit.

Ujarnya, tawaran yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan yang telah menghampiri dua tahun mentadbir telah mula menyemai hasil apabila keseimbangan kehidupan masyarakat dapat dikecapi dengan perkembangan ekonomi semakin baik.

“Kita perlu pastikan kemenangan PRK DUN N29 Mahkota mendapat majoriti besar kerana ia melambangkan Kerajaan Perpaduan diterima rakyat yang berbilang-bilang kaum.

“Demografi masyarakat di Mahkota ini mempunyai pelbagai bangsa yang mencerminkan rakyat Malaysia sebenar. Ini adalah ruang dan peluang terbaik bagi anggota jentera memanfaatkannya dengan melaksanakan gerak kerja secara bersama dan meraih sebanyak mungkin sokongan daripada pengundi,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau telah berada di DUN Mahkota menyertai jentera Kerajaan Perpaduan dari Negeri Sembilan yang diketuai oleh Pengerusi Perhubungan UMNO negeri terbabit, Datuk Seri Jaluddin Alias di PDM Kampung Tengah dan PDM Kampung Melayu.

Dalam perkembangan tersebut, Mohd Zaidy melahirkan keyakinan dengan calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah lantaran latar belakang dan penglibatan yang baik selain keupayaannya bersama masyarakat pelbagai bangsa di sini.

“Latar belakang Syed Hussien memberi peluang kepada beliau berinteraksi dengan lebih terbuka misalnya dengan masyarakat Cina kerana Syed Hussien pernah bersekolah di sekolah vernakular.

“Ini bermakna beliau juga mempunyai pemahaman yang baik tentang budaya, bahasa dan pemikiran masyarakat terbabit iaitu bukan hanya bangsa Melayu semata-mata.

“Namun begitu ini tak bermakna kita boleh ambil mudah atau bersikap selesa sebaliknya kita perlu terus bekerja dan bekerja bagi memastikan para pengundi terus tekad memilih BN dan keluar membuang undi pada 28 Sept nanti,” katanya lagi.

PRK DUN Mahkota pada 28 Sept ini, menyaksikan pertembungan antara calon BN dan Perikatan Nasional (PN).

BN mempertaruhkan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, manakala PN meletakkan Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

DUN Mahkota yang merupakan satu daripada dua DUN di bawah Parlimen Kluang, mempunyai 66,318 pengundi berdaftar terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.