Kesusahan Tidak Jadi Alasan… KPT Arah Pihak Universiti Terima Pelajar Terlebih Dahulu

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan pihak universiti menerima para pelajar terlebih dahulu sekiranya mereka mempunyai masalah kewangan ketika mendaftar.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut mengalu-alukan para pelajar untuk menghubungi pihak universiti ataupun Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) jika terdapat sebarang permasalahan.

“Saya dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah beberapa kali berbincang tentang perkara ini sebelum ini dan kita komited untuk memastikan setiap pelajar yang mendapat tawaran akan masuk mendaftar di setiap universiti.

“Jika ada sebarang masalah atau isu, boleh terus hubungi pihak universiti atau KPT.
Jangan bimbang tentang yuran dan sebagainya, KPT sediakan pelbagai kemudahan untuk pelajar. Insya-Allah kita permudahkan segala kesukaran.

“Saya telah pun mengarahkan bahawa saya tidak mahu mendengar kisah mereka yang berjaya tidak dapat masuk ke universiti. Saya masih ingat, saya mula daripada latar belakang itu, saya tahu tentang kesusahan itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau tidak mahu kesusahan dijadikan alasan untuk para pelajar yang cemerlang enggan meneruskan pengajian mereka di peringkat lebih tinggi.

“Saya tidak mahu itu dijadikan sebagai satu alasan untuk adik-adik semua tidak mahu masuk ke universiti. Saya telah mengarahkan kepada pihak universiti supaya ambil kalau saudara-saudari terlebih dahulu.

“Selepas itu, kita akan susun dan melalui PTPTN dan sebagainya. Salah satu pendekatan yang dibuat oleh PTPTN ialah kita akan memberi wang pendahuluan bagi membolehkan saudara-saudari mendaftarkan diri sebagai mahasiswa di universiti masing-masing,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.