Kempen Bersemuka, Media Sosial Mantapkan Kempen Wanita UMNO/BN

KLUANG, 19 Sept – Wanita Barisan Nasional (BN) meneruskan gerak kerja mendekati rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, kata Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim.

Ini termasuk menerusi pendekatan Wanita yang telah dilaksanakan sejak sekian lama iaitu Jalinan Rakyat (JR).

Menurut Norshida, gerak kerja JR tidak lekang bergerak dari rumah ke rumah bagi memastikan calon BN Syed Hussien Syed Abdullah mendapat kepercayaan masyarakat setempat sekaligus diangkat sebagai ‘Yang Berkhidmat’ pada Sabtu depan.

“Kempen PRK bagi kawasan DUN Mahkota yang masuk hari kelima hari ini diteruskan lagi dengan pelbagai medium kempen dalam usaha membantu parti mencapai kemenangan.

“Selain secara bersemuka yang dilaksanakan oleh pelbagai jentera kempen parti BN dan parti-parti lain yang berada di dalam kerajaan perpaduan, kempen menerusi media sosial juga cukup penting,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat berkata kempen menerusi media sosial juga diaktifkan sebaiknya dalam usaha bukan sahaja mempromosi calon BN malah menjelaskan kepada masyarakat umum kenapa perlu membuat pilihan tepat pada PRK ini.

“Sebab itulah walaupun kempen rumah ke rumah cukup penting, namun gerak kerja menerusi media sosial juga amat mustahak dalam usaha memberi nilai tambah kepada gerak kerja BN sepanjang kempen berlangsung.

“Wanita akan bergerak sebaiknya menerusi kerjasama jentera pelbagai peringkat demi untuk memastikan Syed Hussien mendapat mandat daripada masyarakat Kluang Sabtu depan,” ujar beliau.

PRK DUN Mahkota yang bakal berlangsung pada 28 Sept ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien, 40, dan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom di sini pada 2 Ogos lepas. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.