Jangan ’Over Confident’, Teruskan Bekerja Pastikan Rakyat Keluar Mengundi – Ahmad Maslan

KLUANG, 19 Sept – Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Barisan Nasional (BN) DUN Mahkota, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan anggota jentera parti agar tidak berasa selesa dengan apa yang berlaku sepanjang kempen sebaliknya teruskan bekerja.

Ujarnya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, jentera pelbagai lapisan peringkat UMNO/BN perlu terus bekerja sehingga ke peringkat akhir bagi memastikan calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah memperoleh kemenangan pada hari pengundian, 28 Sept nanti.

“Jentera jangan ´over confident’. Bagaimana nak mengeluarkan masyarakat khususnya pengundi termasuk pengundi Cina untuk keluar mengundi? Kita perlu ingatkan mereka untuk pulang ke kampung dan keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat.

“Kita tak mahu apabila sekeliling kita semua cakap akan menang namun kita berlainan arah dan akhirnya keputusannya nanti tak berpihak pada kita. Kita mahukan pembangunan yang telah dilaksanakan di sini dapat berlangsung dan ada kesinambungan dari semasa ke semasa.

“Kita mahukan majoriti kemenangan di DUN ini lebih daripada 5,000 iaitu melebihi undi yang kita peroleh dalam PRN lalu,”katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian dalam sesi podcast #HitamPutihKelabu hasil alternatif daripada Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan melalui laman Facebook UMNO Online sempena PRK DUN Mahkota.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 Sept ini, menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, manakala PN meletakkan Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,168 undi dalam persaingan empat penjuru,
melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit