Syed Hussien Teruja Sambutan Masyarakat India Terhadapnya

KLUANG, 18 Sept – Calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah meluahkan keterujaan apabila melihat sambutan masyarakat India terhadapnya.

“Saya terperanjat tengok sambutan agak meriah dan saya bersyukur mereka sambut saya seperti satu keluarga,” katanya dengan ceria kepada media.

Syed Hussien, 40, yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang ditemui selepas majlis ramah mesra bersama masyarakat India di Balai Raya Kampung Padang Tembak, di sini, Selasa malam.

Ulas Hussien, pertemuan bersama komuniti India di kawasan itu mengimbau kenangannya ketika menjadi Ahli Majlis Perbandaran Kluang sebelum ini serta aktif dalam pelbagai kegiatan belia dan kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Semasa saya menjadi ahli majlis, ini adalah tempat yang pertama saya lawati. Ini kali kedua ke sini. Untuk persatuan yang pertama saya sampai di sini dulu,” katanya lagi.

Syed Hussien juga ditanya mengenai perancangan untuk masyarakat India sekiranya dipilih pada 28 September kelak.

“Sebagai seorang calon wakil rakyat muda kami tidak mengamalkan janji bulan dan bintang, tetapi apa yang kami kekalkan adalah sifat kekeluargaan bermaksud setiap bangsa dan agama dekat di hati saya dan kita membuka ruang untuk mereka menceritakan kisah mereka kepada saya,” katanya.

Rata-rata masyarakat India yang ditemui di situ sudah mengenali Syed Hussien dan ahli keluarganya yang berasal dari Kluang yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

Pada sebelah siang dalam siri kempennya, Syed Hussein hadir ke majlis perjumpaan dengan usahawan muda tempatan di Dewan Muafakat Kampung Tengah, sembang santai di Kedai Pak Atan, Kampung Melayu dan ‘walkabout’ sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Tengah.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu lalu dan pengundian awal pada 24 September manakala hari pengundian pada 28 September. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit