Syed Hussein Ada Kredibiliti, Kelebihan Mampu Bawa Suara Rakyat

KLUANG, 18 Sept – Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah berpandangan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah mempunyai kelebihan tersendiri sekaligus memberikan nilai tambah kepadanya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Kata beliau, ia sebagai peluang terbaik kepada pengundi di Mahkota untuk memilih wakil rakyat yang berkrediliti bagi membawa suara mereka di DUN.

“Niai tambah yang ada pada calon BN adalah dia boleh berbahasa Mandarin dan juga dengan perwatakan lembut, orang tempatan dan sudah lama bekerja dengan politik khususnya dengan UMNO di Kluang ini.

“Jadi ini sebenarnya adalah nilai tambah, inilah kesempatan yang perlu orang Mahkota ini ambil. Kerana kita perlukan calon muda, yang kuat bekerja, mempunyai idea yang segar. Ini yang boleh membawa pembangunan di mahkota, membawa kesinambungan daripada arwah DUN sebelum ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Beliau dalam pada itu memaklumkan bahawa Perhubungan UMNO Negeri Pahang telah menghantar jentera untuk berkampung di Mahkota selama dua minggu bagi membantu jentera tempatan.

Bahkan katanya, gerak kerja awal juga telah dilaksanakan apabila ada di antara jentera Pahang yang hadir sebelum tempoh berkempen bagi memantau sentimen rakyat di kawasan ini.

“Jadi sepanjang dua minggu ini fokus kami adalah untuk membantu jentera tempatan tidak lain dan tidak bukan fokus yang diberikan oleh Menteri Besar Pahang yang juga Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah untuk membantu dan juga untuk menyelaras jentera tempatan, proses untuk berkempen dan sebagainya.

“Mereka ini sudah lama berada di sini semenjak hari pertama dan sebelum itu sebenarnya kami dah hadir juga ke Mahkota untuk tahu sentimen masyarakat di sini dan sebagainya sebab kita nak mengenali apa keadaan-keadaan setempat.

“Kami di sini bersama dengan rakyat, kita turun kepada rakyat, buat program ziarah, dengan orang muda, macam-macam program yang kita bersama-sama anjurkan bersama-sama dengan jentera tempatan,” ujar beliau.

Untuk rekod PRK ini menyaksikan satu lawan satu di antara calon BN, Syed Hussein, 40, menentang calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit