PRK: ‘Jangan Terpengaruh Manipulasi Politik Dimain Pihak Lawan’ – SUA

KLUANG, 18 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota untuk menolak sentimen manipulasi yang dibawa pembangkang.

Menurut beliau, ini kerana ia selalu menjadi mainan politik pihak lawan terutama pada pilihan raya, terutama dengan menimbulkan kekeliruan khususnya melibatkan perjuangan UMNO.

“Pihak pembangkang cuba untuk memanipulasi dan merosakkan pemikiran pengundi seolah-olah UMNO/Barisan Nasional (BN) hari ini menanggalkan asas-asas perjuangan.

“… ia masih kuat lagi dimainkan di mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK) jaja UMNO dengan Dap seolah-olah dua parti saja yang bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan sedangkan penubuhan kerajaan ini berasaskan 19 parti-parti politik.

“Bila keluar Muda hanya tinggal 18. Jadi 18 parti ini sebenarnya adalah parti yang mewajahkan realiti sebenar Malaysia.

“Berbilang kaum daripada Sabah dan Sarawak tetapi tunjang dan akarnya masih lagi Islam, Melayu dan juga bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taqarrub di pusat daerah mengundi (PDM) Dorset, yang diadakan malam tadi.

Turut hadir Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Fuzi Sh Ali; ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.

Mengulas lanjut kata Dr Asyraf berkata ini kepelbagaian menjadi teras kepada kestabilan dimiliki negara sejak mencapai kemerdekaan negara.

“Saya kira inilah yang menjadi teras kepada kestabilan politik tanah air semenjak Merdeka sehingga hari ini.

“Sebab itu mahu tak mahu kita kena sedar bahawa Malaysia ini didirikan dengan teras-teras utama. Teras yang pertama adalah sifatnya yang majmuk berbilang kaum dan berbilang agama.

“Yang kedua, walaupun dalam kepelbagaian agama dan kaum, tunjang, induk adalah Islam, Melayu bumiputera. Jadi ini asas yang paling penting,” ujar beliau.

Terdahulu, beliau pada sebelah petangnya meluangkan masa beriadah bersama anak muda dengan menyertai permainan persahabatan dengan penduduk setempat di bawah PDM Kampung Melayu 2.

Beliau juga turut sama melakukan ramah mesra serta perkongsian idea membabitkan golongan itu.

Terdahulu BN pada PRK DUN Mahkota ini mempertaruhkan Syed Hussien Syed Abdullah yang berdepan saingan dua penjuru dengan calon Perikatan Nasional, bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut selepas mantan ADUN Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada Ogos lalu.

Syed Hussien yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mampu bertutur dalam bahasa Mandarin. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit