Muktamar Pas ke-70… Cerminan Akhlak Sebenar Mereka – Gulam Muzaffar

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar beranggapan bahawa Muktamar Tahunan Pas ke-70 yang diadakan pada minggu lalu merupakan cerminan akhlak sebenar mereka.

Ini kerana katanya, tindakan mereka menjadikan perhimpunan tahunan tersebut sebagai pentas untuk melemparkan cacian dan fitnah kepada UMNO serta kerajaan tidak langsung menunjukkan akhlak sebenar Islam.

“Muktamar Pas ke-70 yang berakhir pada Ahad lepas mencerminkan akhlak Pas sebenarnya. Cerminan akhlak Islam tidak ditunjukkan, penuh dengan cacian dan fitnah kepada UMNO serta kerajaan. Adakah ini akhlak yang ditunjukkan oleh parti yang berteraskan ajaran Islam? Caci, maki atau fitnah dibolehkan dalam Islam?

“Tidak terkecuali parti UMNO dan yang lebih ‘sadis’ Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disinggung berulang kali dan dijadikan bahan hentaman. Mereka menembak beliau dengan ‘peluru-peluru beracun’ politik yang menjadikan suasana Muktamar Pas lebih panas dan sensasi.

“Modal yang tiada modal sebenarnya seperti membangkit isu mahkamah Datuk Seri Zahid, mengatakan UMNO mengadai maruah kepada Dap, tidak mempertahankan 3R (raja, agama, bangsa) dan banyak lagi yang dihambur sehingga air liur tersembur keluar dari mulut ketika berucap di pentas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, apabila terdapat pembahas yang menegur sikap sesetengah pemimpin, mereka tuntas mengeluarkan dalil untuk mempertahankannya.

“…yang menjadi pelik apabila pembahas atau perwakilan sendiri dari Perlis menegur kepimpinan Pas atas akhlak sesetengah pemimpin. Pucuk pimpinan Pas terus mengelupur panas dan mengeluarkan dalil mempertahankan kesalahan serta akhlak songsang pemimpin-pemimpin tertentu.

“Lebih ‘win’, untuk menghalalkan salah laku pemimpin mereka, Ketua Penerangan Pas, Fadhli Saari mengatakan pula ahli dan pemimpin parti itu bukannya malaikat dan maksum. Betul lah tu!

“Tetapi takkan teguran di atas plaform kebebasan bersuara dalam Pas tidak boleh diterima sehingga pembahas usul dikenakan tindakan disiplin? Pas sendiri menjadikan pemimpin-pemimpin mereka yang ada salah laku dan kurang akhlak maksum serta seperti malaikat sebenarnya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan selamat pengantin baru kepada Pas kerana ahli-ahli lelakinya digesa untuk berkahwin dengan wanita bukan Melayu dan Islam agar dapat ‘menzuriatkan’ pengundi parti itu pada masa akan datang.

“Akhir kata, betullah kata Datuk Seri Zahid banyak dosa kering dalam Muktamar Pas kali ini. Paling terbagus untuk diingati dalam muktamar Pas iaitu gesa ahli-ahli lelaki kahwin dengan wanita bukan Melayu/Islam untuk menzuriatkan pengundi-pengundi Pas akan datang. Selamat pengantin baru diucapkan kepada Pas,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.