Kes Tuntutan Sulu: Kerajaan Madani Pandang Serius Isu Kedaulatan Negara

KUALA LUMPUR, 18 September – Kerajaan Madani memandang serius mengenai isu kedaulatan negara dan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat negara ini.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan bahawa beliau bersama delegasi Malaysia telah hadir ke Paris untuk mendengar rayuan kumpulan Sulu.

“Pagi tadi, saya dan delegasi Malaysia telah menghadiri perbicaraan di Mahkamah Agung Perancis di Paris untuk mendengar rayuan kumpulan Sulu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023 lalu yang telah memihak kepada Malaysia.

“Berdasarkan kepada pernyataan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak dan pernyataan yang mewakili Kerajaan Perancis, saya berharap agar keputusan rayuan yang dijangka akan diketahui kelak akan berpihak kepada Malaysia Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, kerajaan akan sentiasa berusaha untuk menjaga kedaulatan negara ini demi maruah Malaysia dan kesejahteraan rakyat.

“Delegasi ini turut disertai oleh Duta Besar Malaysia ke Perancis, TYT Datuk Eldeen Husaini bin Mohd Hashim, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM), YBrs. Dr. Punitha Silivarajoo, pegawai-pegawai kanan daripada BHEUU, JPM, Jabatan Peguam Negara (AGC), Kementerian Luar Negeri (KLN), War Room Sekretariat Khas.

“Kerajaan Madani memandang serius isu-isu yang melibatkan kedaulatan negara dan tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang cubaan mana-mana pihak untuk mengganggu gugat kedaulatan dan maruah Malaysia demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Pada Mei media melaporkan Mahkamah Rayuan Madrid mengekalkan sabitan kesalahan menghina mahkamah terhadap penimbang tara Sulu Gonzalo Stampa, dalam kes tuntutan pihak mengaku waris Sulu ke atas Malaysia.

Azalina dalam satu kenyataan berkata, keputusan mahkamah rayuan untuk menolak rayuan Stampa dan mengesahkan hukuman penjara enam bulan serta larangan satu tahun daripada menjalankan tugas sebagai penimbang tara itu, telah dimaklumkan pada 10 Mei lalu.

Pada Disember 2021, selepas pemindahan prosiding timbang tara dari Sepanyol ke Perancis, Malaysia telah memfailkan aduan terhadap Stampa bersama-sama Pendakwa Raya Sepanyol atas alasan beliau telah menghina mahkamah apabila berulang kali mengingkari perintah Mahkamah Tinggi Sepanyol dan meneruskan tindakannya untuk membeli forum di negara lain.

Pada 11 Disember tahun lepas, mahkamah mendengar hujah kedua-dua pihak dan Kerajaan Malaysia telah menggesa Mahkamah Madrid agar menjatuhi hukuman penjara ke atas Stampa.

Mahkamah Jenayah yang bertanggungjawab terhadap perkara itu pada 22 Disember tahun lepas dalam keputusannya mengisytiharkan bahawa tindakan Stampa merupakan kesalahan jenayah, dan Stampa kemudian memfailkan rayuan terhadap penghakiman itu di Mahkamah Rayuan Madrid.

Sebelum ini lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai pewaris kesultanan Sulu, memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol untuk mendapatkan berbilion dolar AS daripada Malaysia berhubung tuntutan ke atas Sabah dan mahkamah di Madrid pada Mac 2019 telah melantik Stampa sebagai penimbang tara bagi kes tuntutan Sulu.

Malaysia telah memperoleh kemenangan dalam pertikaian yang telah lama berlarutan, hasil keputusan Mahkamah di Luxembourg, Mahkamah Rayuan Hague di Belanda, Mahkamah Rayuan Paris di Perancis dan juga di Mahkamah Sepanyol. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.