Ikrar Syed Hussien Fokus Perumahan, Keusahawanan, Pelancongan Di Mahkota

KLUANG, 18 Sept – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah berikrar untuk terus melaksanakan pembangunan di kawasan melalui kerangka agenda Maju Johor sekiranya diberikan amanah menggalas tanggungjawab berkenaan.

Jelas beliau, antara fokus membabitkan pembangunan perumahan, keusahawanan dan pelancongan yang berupaya memberikan impak ekonomi kepada penduduk tempatan.

“Berkenaan perumahan kita difahamkan banyak rumah yang akan dan telah dibuat maka itu sebahagian daripada pakej yang memperkasakan.

“Selain itu pakej usahawan juga daripada Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) juga antara menjadi daya tarikan untuk kita membantu usahawan-usahawan B40 ini dan juga tidak dilupakan juga usahawan-usahawan wanita yang memerlukan bantuan.

“Konsep pelancongan juga perlu diteruskan memandangkan kita akan menuju ke Tahun Melawat Johor 2026.

“Itu antara perkara pokok yang kita boleh tengok bagi merancakkan lagi ekonomi tempatan dan pada masa sama mendapat limpahan kepada rakyat tempatan,” katanya.

Katanya ketika ditemui berkempen di pusat daerah mengundi (PDM) Kerjasama, di sini.

Syed Hussein, 40, dalam pada itu turut berkongsi penekanan beliau dalam mengangkat generasi muda di Mahkota melalui pendidikan, sukan dan sosial.

Menurut beliau, agenda Maju Johor merupakan manifestasi kepada komitmen kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam membela nasib rakyat di negeri ini.

“Belia sentiasa dekat di hati saya seperti biasa, isu yang melibatkan dengan pendidikan dan seperti yang saya cakap tadi perumahan, pendidikan, sukan, sosial.

“Ini antara perkara-perkara yang kita nampak boleh ketengahkan tetapi apapun perlu tengok kerangka daripada Maju Johor itu sendiri yang berkesesuaian ikut keadaan semasa dan tempat ini,” ujar beliau.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang itu terdahulu berkesempatan menyantuni penduduk setempat di Jalan Sahabat.

Melalui pertemuan tersebut Syed Hussien bertemu dengan kenalannya dari zaman persekolahan.

“Alhamdulillah saya berada di Taman Mas ramai kawan-kawan di sini zaman sekolah, semua gembira jumpa saya.

“Hari ini saya bermula dengan Semarak Subuh di Kampung Baru dan selepas tu menyantuni beberapa penduduk di Lorong 4 Kampung Baru.

“Pada masa yang sama saya buat walkabout di sekitar jalan Penghulu Kasim di kawasan bandar yang agak terkenal, ada kedai Mek dan ada satu lagi kedai roti bakar, agak ramai kerana tumpuan pelancong di sana,” ujar beliau.

Syed Hussien yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.

Beliau pada PRN ini akan berdepan saingan dua penjuru dengan calon Perikatan Nasional, bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut selepas mantan ADUN Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada Ogos lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.