Tak Lokek Bertemu, Syed Hussien Anggap Orang Mahkota Keluarga Besar

KLUANG, 17 Sept – Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota terus mendekati pelbagai lapisan masyarakat bagi memperkenalkan diri sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Katanya, tidak sukar untuk bersama dengan masyarakat di sini kerana beliau sudah dikenali oleh kebanyakkan penduduk setempat Kluang.

“Saya agak mesra dengan mereka kerana yang pertamanya saya boleh bertutur dalam bahasa Tionghoa bermaksudnya lebih senang untuk berkomunikasi.

“Untuk kepada masyarakat India pula kita seperti satu keluarga dan kami biasa bertemu kerana Kluang ini tidak besar. Jadi senang, muka kita ini sentiasa senang dilihat,” katanya.

Beliau ditemui UMNO Online hari ini ketika menghadiri majlis perkahwinan serentak melibatkan tujuh pasangan di Dewan Sharifah Azizah, di sini, semalam.

Mengulas lanjut Syed Hussien, 40, berkata beliau terus melaksanakan kempen untuk bertemu seramai mungkin pengundi.

Ini termasuk menghadiri majlis keramaian serta kunjungan ke rumah pengundi.

“Alhamdulillah daripada subuh tadi sampai malam kami turun, lepas itu ke walkabout, dekat kedai kopi tiam dan juga ada jalan stesen yang dikenali dengan Little India Kluang kemudian ke sambutan Maulidur Rasul di peringkat daerah.

“Selepas tu tadi saya pergi buat perjumpaan dengan anak muda, sebab ada 500 orang anak muda yang ada. Alhamdulillah mereka sangat gembira, mungkin kerana saya antara calon muda.

“Kita akan teruskan pintu ke pintu dan juga banyakkan ‘walkabout’ kerana kita cuba kurangkan program besar-besar ini supaya kita lebih tertumpu kepada pengundi-pengundi di sekitar DUN Mahkota ini,” ujar beliau.

Syed Hussien yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian turut aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.

Beliau pada PRN ini akan berdepan saingan dua penjuru dengan calon Perikatan Nasional, bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut selepas mantan ADUN Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada Ogos lalu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit