Syed Hussien Calon Tepat, Yang Penting Jangan Terlalu Selesa Dan Keluar Mengundi

KLUANG, 17 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pemilihan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota adalah satu keputusan yang tepat.

Walaupun begitu ujar Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu, BN tidak boleh terlalu selesa dan apa yang penting adalah mengeluarkan seramai mungkin pengundi yang memihak kepada Syed Hussien itu.

“Bagi saya yang penting adalah calon yang boleh menang atau ‘winnable candidate’. Dan kalau lihat saudara Syed Hussien mempunyai ciri-ciri yang mampu memberi keyakinan kepada pengundi-pengundi untuk mengundi calon kita, calon nombor satu.

“Dan saya memang rasa yakin, setakat ini dah berjumpa ramai juga pengundi-pengundi di kawasan DUN Mahkota, tiada isu sangat yang dibangkitkan cuma kita kena pastikan kita jangan selesa. Itu mesej utama, kena keluar mengundi,” katanya kepada UMNO Online.

Tengku Zafrul ditemui selepas mengadakan sesi perjumpaan bersama jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu 2 di sini, Isnin.

Dalam sesi kempennya, Tengku Zafrul turut meluangkan masa mengadakan ziarah kasih rumah ke rumah di kawasan sekitar, santai bersama belia dan hadir ke majlis sambutan Maulidur Rasul di Masjid Jamek Kampung Melayu di sini.

Seterusnya pesan Tengku Zafrul, jentera mestilah jangan lalai dan ambil mudah atas kemenangan yang diperolehi sebelum ini.

“Jentera jangan lalai… jangan ambil mudah… jangan selesa kerana atas kertas nampak kita boleh menang.

“Tetapi kadang-kadang kita jangan terpengaruh dengan mesej di luar sana yang memberi kita keyakinan yang lebih sampai kita sendiri lupa untuk keluar mengundi. Kadang-kadang itu strategi mereka,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, Tengku Zafrul juga menyentuh mengenai kebolehan Syed Hussien yang mampu berbahasa Cina yang menarik perhatian kaum terbabit kepada calon BN itu.

Begitu juga Tengku Zafrul berkongsi pengalaman apabila bersama komuniti perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin setempat mereka mengkagumi keperibadian Syed Hussien.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu lalu dan pengundian awal pada 24 September manakala hari pengundian pada 28 September.

BN mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Syed Hussien, 40, sebagai calon. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit