Rasional Pilih Wakil Rakyat, Mudahkan Urusan Kemajuan Kawasan – Johan

KLUANG, 17 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Johan Abdul Aziz berharap pengundi di Mahkota untuk mengekalkan kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di bawah kerajaan bagi memudahkan urusan kemajuan di kawasan.

Beliau yang juga ADUN Dusun Tua berkata ini kerana berada di bawah penguasaan pembangkang tidak akan memberikan manfaat kepada rakyat.

“Saya pernah jadi ADUN pembangkang dan kerajaan, memahami situasi ini. Disebabkan itu lebih istimewa kalau wakil rakyat yang dipilih bersama kerajaan negeri ini di bawah Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan.

“Apa saja permasalahan senang diselesai, disalur dan dibantu kerana ia tugas sebagai wakil rakyat. Kalau jadi pembangkang tugasnya membangkang sajalah dan sekadar menyuarakan kemudian dia kata saya dah panjangkan, itu sahaja.

“Tetapi kalau ADUN ini daripada kerajaan dia ada peruntukan tertentu termasuklah infrastruktur sebab itu pilih wakil rakyat boleh mewakili boleh menyelesaikan masalah kita, itu yang penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan kempen ziarah rumah ke rumah di sekitar pusat daerah mengundi (PDM) Padang Tembak.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO Selangor, Datuk Halimaton Saadiah Bohan.

Johan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dalam pada itu turut berkongsi kempennya yang menyantuni penduduk setempat.

Menurut beliau, respon yang cukup positif diberikan mereka kerana sudah mengenali calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah.

“Kebanyakan rumah yang saya pergi, amat mengenali calon BN ini dan ada yang kata Syed Hussien ini pangkat anak-anaknya.

“Dan ada yang kata kawan kepada ayah dan datuknya Syed Zain. Jadi saya kira memudahkan lagi kita tak payah nak mengkenalkan lebih-lebih hal calon.

“Saya fikir dia lebih memahami infrastruktur apa yang patut dibantu di kawasan khususnya dalam DUN Makota ini,” ujar beliau.

Untuk rekod Pilihan Raya Kecil DUN Mahkota ini menyaksikan calon BN Syed Hussien berdepan saingan dua penjuru dengan calon Perikatan Nasional, bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut selepas mantan ADUN Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada Ogos lalu.

Syed Hussien yang merupakan ketua UMNO Bahagian Kluang yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mampu bertutur dalam bahasa Mandarin. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.