PRK Mahkota: Perancangan Dan Penetapan Awal Mudahkan Gerak Kerja Wanita – Haslinda

KLUANG, 17 Sept – Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis, Haslinda Salleh berkata perancangan dan penetapan awal gerak kerja yang ditetapkan lebih awal memudahkan tugas jentera Wanita dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang itu, pembahagian tugasan Wanita UMNO bahagian-bahagian dari seluruh negeri Johor dan negeri angkat di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) satu langkah yang melicinkan lagi gerak kerja kempen.

“Gerak kerja Wanita memang tidak perlu dipertikaikan lagi. Seawal selepas Perhimpunan Agung UMNO kami semua Ketua-ketua Wanita UMNO bahagian telahpun turun ke PDM-PDM yang telah ditetapkan untuk bertugas.

“Dari situ kami telah memulakan gerak kerja terutama melihat kembali pengundi-pengundi yang berada dalam DUN Mahkota sama ada yang ada dalam DUN itu sendiri, pengundi luar, pengundi muda atau pengundi berusia 40 tahun ke atas.

“Kita dah tengok dan pada masa sama kita kena siapkan bancian sikap. Jentera-jentera telah mula turun berkampung di sini dengan lebih ramai untuk memastikan kerja-kerja Wanita itu dapat kita laksanakan sebaik mungkin sebelum hari mengundi pada 28 haribulan nanti,” ujarnya kepada UMNO Online.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu lalu dan pengundian awal pada 24 September manakala hari pengundian pada 28 September.

Barisan Nasional (BN) mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon.

Haslinda ditemui selepas program perjumpaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias bersama jentera PDM Kampung Melayu 1, Kampung Melayu 2 dan Kampung Tengah di Bilik Gerakan PDM Kampung Melayu 1 di sini, Isnin.

UMNO Bahagian Labis merupakan bahagian angkat bagi PDM Kampung Tengah.

Mengulas lanjut, Haslinda berkata sepanjang beberapa hari berkempen ini, penerimaan pengundi terhadap BN amat positif.

“Setakat ini penerimaan positif sebab cara Wanita mendekati terutama dari rumah ke rumah, kita menyantuni setiap pengundi yang ada di sini dan kita tidak tinggalkan terutama warga emas, golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan sebagainya.

“Bila kita datang ke rumah ‘ketuk pintu’ dapat diterima dengan baik. Antara gerak kerja Wanita yang paling efektif saya rasa kita telahpun mengadakan ‘yasinan’ dan telah tamat pun di setiap cawangan dalam DUN Mahkota.

“Alhamdulillah semua Ketua Wanita bahagian telah menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk melaksanakan tugasan yang telah diberikan,” katanya.

Begitu juga katanya mereka mengalu-alukan semua pihak dalam parti yang sedia turun membantu atas semangat lengkap-melengkapi dan menambah kekuatan jentera bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan terdahulu.

“Kami mengalu-alukan siapa juga yang ingin membantu, terutama negeri angkat dan kita tiada masalah, boleh bekerjasama antara satu sama lain sebab kita ini lengkap-melengkapi.

“Kita nak jentera yang datang memberi kekuatan terutama kepada jentera tempatan. Kita tak nak ada yang dah penat, dah lemah semangat.. tiada… bila datang negeri angkat, bahagian angkat, mereka lebih bersemangat untuk bekerja bagi meneruskan kesinambungan pembangunan dalam DUN Mahkota ini,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit