#MahkotaKita: Kukuhkan Gerak Kerja, Kita Mesti Hasilkan Keputusan Yang Luar Biasa – Jalaluddin

KLUANG, 17 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias menanamkan azam kepada jentera parti agar dapat menghasilkan kemenangan dengan keputusan yang luar biasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Kata Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan itu, dengan gerak kerja yang kemas dan tersusun daripada seluruh jentera baik tempatan mahupun angkat, hasil yang telah diperolehi di PRK DUN Nenggiri sudah pasti akan diulangi sama di Mahkota ini.

“Kita mesti hasilkan keputusan yang luar biasa. Kalau jentera kita luar biasa, keputusan kita mesti luar biasa… supaya apabila kita memperolehi keputusan, masyarakat lihat inilah perjuangan yang dihasilkan oleh anggota jentera daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) termasuk rakan kita daripada Pakatan Harapan (PH) dalam apa keadaan sekalipun.

“…kita perkukuhkan gerak kerja kita, kemaskan gerak kerja supaya keputusan yang akan diumumkan pada 28 haribulan nanti mesti luar biasa,” katanya ketika berucap di majlis perjumpaan bersama jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu 1, Kampung Melayu 2 dan Kampung Tengah yang merupakan PDM angkat bagi UMNO Negeri Sembilan di Bilik Gerakan PDM Kampung Melayu 1 di sini, Isnin.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Faizal Ramli, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Hasim Rusdi; Setiausaha Mustapha Nagoor; Bendahari Datuk Mohd Isam Mohd Isa; Ketua Wanita Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dan Ketua-ketua PDM.

Walaupun begitu pesannya, jentera jangan terlalu yakin BN akan mengekalkan kemenangan di DUN Mahkota kerana pengalaman di Nenggiri banyak memberi pengajaran apabila Perikatan Nasional (PN) begitu yakin mereka mampu mengekalkan kerusi tersebut.

“Contoh semasa PRK DUN Nenggiri, Negeri Sembilan jaga di PDM Kesedar dan Limau Kasturi dan ramai kata BN tidak boleh menang di Nenggiri.

“Tetapi kita masuk dalam peperangan pada waktu itu dengan semangat bahawa selagi keputusan tidak diumumkan bermakna kita juga mampu untuk memberi saingan kepada calon dan juga tempat kubu kuat pihak lawan, dengan semangat juang yang luar biasa,” ujarnya lagi.

Seterusnya, ulas Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu, selain mendekati pengundi secara bersemuka, penjelasan dan penyampaian maklumat melalui media sosial mesti digunakan sepenuhnya.

“Pemuda dan Puteri mesti mempunyai strategi yang mantap. Media sosial dan viraliti yang diurus Pemuda, Puteri dan unit media mesti diperkukuhkan dan diperkemaskan supaya semua mesej dan maklumat kita sampai kepada pengundi.

“Segala aktiviti mestilah disebarkan melalui apa juga medium media sosial, gunakan seratus peratus supaya mereka mendapat maklum segala perkara yang boleh menghilangkan keraguan mereka kepada UMNO/BN,” katanya lagi.

Tambah Jalaluddin, peranan jentera amat penting dalam menghakis persepsi yang dimainkan pihak pembangkang kononnya UMNO telah lari daripada asas perjuangan sejak berada dalam kerajaan semasa.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu lalu dan pengundian awal pada 24 September manakala hari pengundian pada 28 September.

Barisan Nasional (BN) mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.