Ahmad Zahid Gesa Pemain Industri TVET Sokong Ekosistem Industri Halal

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa pemain industri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menyumbang serta mewujudkan ekosistem yang menyokong graduan bidang itu selain pakar dalam industri halal.

Beliau berkata kewujudan lebih ramai bakat dan pakar dalam sektor halal akan mengukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri yang kini bernilai lebih US$3 trilion di pasaran global.

“Saya menggalakkan pemain industri terutamanya dalam makanan dan ramuan untuk menyumbang serta mewujudkan ekosistem yang menyokong graduan TVET dalam industri halal.

“Ini termasuk membangunkan juruaudit halal mahir dengan kepakaran teknikal yang diperlukan untuk memastikan ketulenan dan integriti amalan halal,” katanya semasa ucapan perasmian pada Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata adalah penting untuk memasukkan bakat TVET dalam industri halal selaras dengan usaha kerajaan bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Halal dunia dan persediaan untuk menjadi hab halal global. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.