Ada Kewajaran Peperiksaan UPSR Dan PT3 Diadakan Semula – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Ada kewajaran bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dimansuhkan pada tahun 2022, untuk dikembalikan semula.

Mantan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peperiksaan tersebut sebelum ini telah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid.

“Saya berpandangan bahawa kedua-dua peperiksaan UPSR dan PT3 itu ada nilainya yang tersendiri dan ianya menjadi salah satu komponen yang penting di dalam sistem pendidikan kita sejak sekian lama kita menggunapakainya.

“Jadi saya melihat perkara itu ada kewajarannya untuk kita adakan semula peperiksaan itu kerana ianya telah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid sepertimana yang kita mahukan untuk anak-anak generasi pewaris masa depan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-78 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, di Shah Alam semalam, berkaitan cadangan supaya sistem peperiksaan bagi Tahun enam di sekolah rendah dan Tingkatan tiga di sekolah menengah dirombak.

Ujar Mahdzir, pemansuhan UPSR dan PT3 oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, pada 2022 itu dibuat dalam situasi tergesa-gesa dan tanpa melakukan kajian mendalam.

Pemansuhan peperiksaan itu yang digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kata Mahdzir, juga telah memberi kesan kepada penilaian sebenar tahap pencapaian pelajar.

Justeru jelasnya, saranan oleh Ahmad Zahid itu perlu diambil secara positif oleh Kementerian Pendidikan Malaysia kerana kesan pemansuhan UPSR dan PT3 mula terlihat apabila isu keciciran kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas, berpunca daripada masalah membaca, menulis dan mengira (3М).

“Saya melihat kaedah pentaksiran PBD dan PBS itu tidak menggambarkan tahap sebenar kemampuan pelajar berbanding menerusi penilaian berasaskan sistem peperiksaan.

“Kaedah pentaksiran tersebut juga saya fikir telah memberi beban tambahan kepada guru-guru kelas.”

Selain itu tambah Mahdzir, ada kedengaran suara-suara daripada ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan kaedah pelaksanaan PBD dan PBS yang telah menjejaskan peluang anak-anak mereka memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Saya juga melihat dari sudut tahap persaingan dan kesungguhan murid Tahun 6 di sekolah rendah dan pelajar di Tingkatan 3 agak berkurangan apabila tidak ada peperiksaan khas seperti UPSR dan PT3 dahulu di mana murid dan pelajar berada dalam suasana persaingan dan kesungguhan yang cukup tinggi untuk mencapai kejayaaan.

“Begitu juga di peringkat ibu bapa yang bersemangat untuk melihat anak-anak mereka berjaya menerusi peperiksaan tersebut dengan memberi lebih perhatian kepada pembelajaran anak-anak mereka yang bakal menduduki peperiksaan,” ujar Mahdzir.

Untuk rekod, UPSR mula diperkenalkan pada tahun 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul, manakala PT3 pula mula dilaksanakan pada tahun 2014 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.