‘UMNO Bawa Penyatuan Cerdik Pandai Melayu Raih Kemerdekaan’ – Azhar
KUALA LUMPUR, 16 Sept – Bersempena bulan kemerdekaan negara yang masih disambut oleh rakyat Malaysia ketika ini, Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad mengajak rakyat untuk sama-sama menghayati perjuangan pemimpin UMNO terdahulu dalam membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan pihak asing.
Jelas beliau ini kerana penubuhan UMNO itu sendiri adalah bagi membawa penyatuan kepada orang Melayu untuk memastikan kata sepakat dapat diperoleh daripada golongan cerdik pandai dalam membawa kemerdekaan.
“UMNO dan Merdeka tak dapat dipisahkan ibarat irama dan lagu, maka kalau pisahkan pincanglah dia.
“Jadi begitu juga dengan UMNO ni karana sejarah awal menuntut kemerdekaan negara daripada orang-orang yang terdahulu sangatlah besar jasanya bukan setakat air mata untuk menuntut sebuah kemerdekaan ini malahan kadang-kadang hilang nyawa tanpa kubur dan sebagainya.
“Hasil kemerdekaan daripada perjuangan orang-orang lama, menuntut kemerdekaan negara ini daripada penjajahan secara fizikal itu dapat dirasai oleh generasi kini,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Azhar yang juga Ahli Dewan Negara berkata melalui UMNO pelbagai kata sepakat secara struktur dapat dicapai dalam kalangan orang Melayu yang berjaya membawa kekuatan dalam menuntut kemerdekaan.
Ini kerana, Melayu pada ketika itu terpisah kerana tiadanya organisasi bersistem dalam membawa suara orang Melayu bagi mentadbir negara sendiri tanpa campur tangan pihak lain.
“Jadi semua itu adalah hasil perjuangan orang-orang Melayu dan bukan Melayu yang sertai untuk menuntut kemerdekaan merdeka, kita orang Melayu ini terpisah ras, suku dan bangsa kerana tidak ada organisasi yang membentuk dasar perjuangan.
“Selepas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) terbentuk barulah kita menuntut kemerdekaan secara bijaksana maka mulalah gerakan-gerakan menuntut kemerdekaan daripada bijak pandai UMNO.
“Itulah perjalanan sebuah perjuangan menuntut kemerdekaan ada orang Melayu, India, Cina, Iban dan Kadazan tapi dominannya orang Melayu malah orang Melayu pada masa sebelum itu tidak ada organisasi yang tepat tetapi bila ada UMNO maka menuntut kemerdekaan negara itu lebih jelas berorganisasi dan bersistem,” ujar beliau. – UMNO Online