Tolak Politik Tohmahan, Jaga Keharmonian Bangsa Johor – Onn Hafiz

KLUANG, 16 Sept – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sekali lagi menegaskan agar semua pihak untuk menepis politik tohmahan dalam mengharungi kempen dua minggu Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Jelas beliau ini kerana tatasusila sebagai bangsa Johor perlu kekal dijaga bagi memastikan keharmonian kekal terpelihara dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Politik sebegitu saya rasa tak sesuai di negeri Johor seperti yang saya mohon tempoh hari, di sini sama-samalah kita jaga adab, jaga tertib dan juga keharmonian bangsa Johor yang kita semua hargai.

“Jangan kita terikut-ikut dengan tohmahan dan hasutan. Itu rayuan saya kepada bangsa Johor, terutamanya yang berada di kawasan dunia Mahkota,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sembang Santai @ Makan Tengahari Bersama Belia DUN Mahkota di Ngepot Kabin, hari ini.

Onn Hafiz berkata demikian sebagai memberi respon terharap kenyataan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin dalam ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Tengah, yang menyeru kaum Cina di DUN Mahkota menolak parti DAP yang dikatakan sekadar alat UMNO untuk mendapatkan undi.

Mengulas lanjut berkenaan siri kempen ini, Onn Hafiz berkata beliau yakin dengan sokongan pengundi muda terhadap calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah.

Katanya, ini kerana pelbagai pendekatan dilakukan termasuk kempen bersemuka dan media sosial dilakukan dalam memperkenal Syed Hussein sebagai calon BN bersempena PRK DUN Mahkota.

“Insya-Allah kita buat membabitkan program-program seperti ini sebab sebagai anak muda mungkin ramai yang tak kenal beliau.

“Tetapi pendekatan seperti sosial media, bersemuka ini adalah pendekatan untuk kita merapatkan calon dengan anak-anak muda.

“Saya yakin bahawa insya-Allah kalau diberikan peluang untuk menjadi wakil rakyat di sini, beliau akan berkhidmat dengan baik,” katanya.

Onn Hafiz dalam pada itu berkata keputusan meletakkan calon muda pada PRK ini tepat bagi memastikan agenda memartabat golongan ini dapat terus dilaksana kerajaan.

“Sebab itu juga saya rasa pucuk pimpinan membuat keputusan untuk memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin muda.

“… untuk dijadikan calon supaya mereka dapat menghayati juga inspirasi pelbagai lapisan masyarakat terutamanya orang-orang muda di kawasan DUN,” katanya.

Untuk rekod PRK ini menyaksikan satu lawan satu di antara calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah, 40, menentang calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.