Tolak MoU Peruntukan Pembangkang, PN Masih Lagi Main Politik Sempit – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Hasmuni Hassan menempelak Perikatan Nasional (PN) yang bertindak menolak Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Menurut beliau tindakan tersebut membuktikan PN masih lagi bermain politik sempit dan sombong tanpa memikirkan perbuatan tersebut membawa kerugian kepada rakyat.

“Sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO saya cukup kecewa dengan sikap Ketua Pembangkang yang asyik bermain politik murahan, memainkan sentimen rakyat dan memgganggu-gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

“Nampak tak? Nampak sangatlah sikap sombong semberono itu semakin ketara. Dalam hal peruntukan kepada pembangkang ini, PN perlulah menunjukkan sikap yang matang dan terbuka.

“Usah kita heret rakyat menjadi mangsa kesombongan kita yang semberono dan mengetengahkan sentimen yang merugikan rakyat yang menunjukkan Ketua Pembangkang yang ini sangat mementingkang diri dari memikirkan hal rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Hasmuni dalam pada itu berkata sedangkan
ketika PN mentadbir negara, mereka malah memberikan tawaran yang sama kepada pembangkang yang diketuai oleh Perdana Menteri Ke-10 sekarang.

“Beliau bersetuju dengan rendah hati disebabkan beliau meletakkan kepentingan rakyat lebih utama dari segala-galanya,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Hasmuni berkata kenyataan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga menunjukkan sikap lebih memikirkan diri dan survival politik berbanding kepentingan rakyat.

“Bagi saya, setiap lima tahun kita akan diberi peluang supaya rakyat memilih kepemimpinan mereka.

“Jadi, kalau kita berkhidmat dan berjasa kepada rakyat, maka rakyat akan faham dan pasti akan memberi sokongan kepada mereka yang telah berjasa.

“Hal peruntukan ini disalurkan demi rakyat, digunakan untuk rakyat. Maka manfaatkan dengan sebaik-baiknya,” tegas beliau.

Terdahulu dilaporkan pembangkang sebulat suara menolak draf MoU tersebut, bagaimanapun kerajaan pada masa kini masih terbuka sekiranya memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan pembangkang mahu dirunding sekali lagi.

Namun kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ia tidak akan tersasar daripada syarat asal seperti ditetapkan dalam draf MoU dikemukakan kerajaan kepada PN sebelum ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.