Syed Hussein Pemimpin Muka Baharu UMNO/BN, Anak Tempatan Untuk Mahkota – Sharkar

KLUANG, 16 Sept – Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah dilihat sebagai pemimpin muda, muka baharu UMNO/BN dalam membawa perjuangan dan khidmat bakti kepada rakyat, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Menurut beliau, pemilihan ketua Pemuda UMNO Kluang itu juga sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) ini juga membawa kelebihan kepada dirinya sebagai muka baharu dan orang tempatan.

“Syed Hussein adalah sebahagian daripada produk yang dilahirkan oleh UMNO untuk menjadi pemimpin masa depan. Jadi sebab itulah yakin bahawa beliau akan berjaya insya-Allah, kita kena bekerja semaksima mungkin.

“Pemilihan calon ini tepat kerana beliau adalah local boy yang lahir, dibesarkan di sini, mempunyai pendidikan dan dia sangat memahami kawasan ini.

“Beliau juga seorang yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dan Kantonis dengan baik. Ini merupakan kelebihan dan telah sampai masanya untuk UMNO mengemukakan muka-muka baru untuk diketengahkan.

“Kita harap ini akan memberikan optik bahawa UMNO akan berubah mengikut peredaran zaman dan waktu telah sampai masanya untuk kita mengumumkan muka-muka baru insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas berkempen ke rumah pengundi di Taman Berlian.

Mohd Sharkar dalam pada itu berkongsi respon positif ditunjukkan oleh penduduk sekitar yang beliau temui kerana mereka sudah mengenali Syed Hussein yang merupakan berasal dari Taman Cahaya Pelangi.

“Secara kebetulan kawasan saya pergi itu tempat Syed Hussein dibesarkan. Jadi mudahlah penerimaan rakyat di situ” ujar beliau.

Mengulas lanjut beliau juga berharap kesemua pihak untuk mengutamakan kempen secara sihat dalam menfokuskan kematangan berpolitik dengan menghormati elemen raja, agama dan kaum (3R).

Jelas beliau ini kerana pada akhirnya ia akan berbalik kepada kepentingan kepada rakyat, yang perlu diutamakan.

“Kita negara yang mempunyai kedaulatan undang-undang, rukun negara mesti menghormatinya termasuk melibatkan 3R.

“Berkempen ini mestilah secara ikhlas dan bertatasusila jangan sampai seolah-olah kita ini nak bakar jambatan kerana dalam politik, tiada teman dan musuh yang berterusan.

“Mesti pentingkan kepada dasar ataupun manifesto dan sebagainya yang nak dibawa. Lebih penting lagi kita nak jadi negara maju tengok bagaimana pemimpin di negara-negara lain berkempen.

“Jadi kita kena tunjukkan contoh di pilihan rakyat kali ini sama ada pembangkang ataupun kepada parti kerajaan kempen yang sihat yang lebih kepada memperlihatkan kematangan kita dalam politik,” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi turut mengingatkan semua pihak terlibat dengan PRK DUN Mahkota untuk berkempen ‘cara Johor’ yang mengutamakan serta menitikberatkan aspek keharmonian.

Selain itu, beliau berkata perkara berkaitan 3R seharusnya tidak disentuh langsung oleh mana-mana pihak terutama dalam tempoh berkempen kerana keamanan dan keharmonian perlu dipelihara setiap masa.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 Sept sebagai hari pengundian manakala 24 Sept untuk undi awal. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.