Suburkan Islam Dengan Mengangkat Kemuliaan TVET Tahfiz Menurut Islam

1. Hari ini salah satu hala tuju baru Kerajaan Perpaduan bagi menyuburkan lagi Islam khususnya di bawah tugasan dan pengawasan langsung YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selalu pengerusi TVET Negara ialah memperkasakan kemahiran TVET iaitu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional di kalangan para Huffaz atau dikenali sebagai TVET Tahfiz.

Untuk mencapai hasrat TVET Tahfiz ini, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz MARA telah diperkenalkan di institusi di bawah MARA iaitu GIATMARA, IKM, KKTM dan UniKL.

Objektifnya ialah agar para Huffaz mempunyai masa depan kerjaya melibatkan pelbagai kemahiran hidup di samping kelebihan hafazan 30 Juzuk al-Quran.

Ia satu langkah kehadapan mengangkat dan menambah nilai terhadap profesion Hafazan al-Quran dengan menggabungkan dua elemen kemahiran iaitu Kemahiran al-Quran dan Kemahiran Tangan melibatkan teknikel dan vokasional.

2. KEMAHIRAN TANGAN atau dikenali sebagai TVET merupakan satu pekerjaan yang mulia sehinggakan para ulama berbeza pendapat sebagaimana disebut oleh Imam Nawawi tentang pekerjaan yang paling baik antara perniagaan dan perladangan. Ada yang berpandangan hasil usaha tangan adalah pekerjaan terbaik.

3. Kemahiran tangan telah diangkat oleh Allah kemuliaannya menerusi kemahiran para Nabi seperti Nabi Idris alaihissalam (as) dalam jahitan, Nabi Nuh (a.s) dan Zakaria (a.s) dalam pertukangan kayu dan kemahiran Nabi Dawud (a.s) dalam pertukangan besi.

4. Nabi (saw) bersabda menjelaskan tentang kerjaya rezki Nabi Dawud (a.s) hasil kemahiran baginda:

أنَّ داوُدَ النبيَّ عليه السَّلامُ، كانَ لا يَأْكُلُ إلَّا مِن عَمَلِ يَدِهِ
“Bahawa Nabi Dawud adalah baginda tidak makan melainkan daripada hasil kerja tangan baginda”
(Hadis riwayat Bukhari no 2073)

Kata Ibnu Hajar al-Asqalani: hikmah Nabi (saw) secara khusus menyebut tentang Dawud ialah kerana pergantungan Dawud terhadap makan minum hasil kerja tangannya bukanlah satu keperluan kerana baginda merupakan khalifah pemerintah Allah di bumi tetapi ia bermaksud mencari makan minum menerusi cara yang paling baik

5. Nabi (saw) juga menyebut tentang Zakaria;

كان زكريا – عليه السلام – نَجَّارًا
“Adalah Zakaria seorang tukang kayu”
(Hadis riwayat Muslim no 2379 )

Menurut Imam Nawawi;
فيه جواز الصنائع، وأنَّ النِّجارة لا تُسقط المروءة، وأنَّها صنعةٌ فاضلة”.
“hadis ini menjelaskan keharusan kerja perusahaan dan bahawa kerja pertukangan kayu tidak menjatuhkan maruah dan ia merupakan perusahaan yang mulia”

6. Di kalangan Sahabat Nabi (saw) terdapat penjahit baju seperti Uthman bin Talhah (r.a) dan pakar sulaman seperti al-Zubair bin al-Awwam, Amru bin al-‘Aas dan Sahl bin Sa’ad

Justerus diriwayatkan dalam Hadis Dhaif, baginda bersabda
إنَّ اللهَ يحِبُّ المؤمنَ المحترِفَ
“Sesungguhnya Allah suka orang beeiman yang berkemahiran”
(Hadis riwayat al-Munziri dalam Targhib wa Tarhib, Tabrani dan Baihaqi. Ia dinilai Dhaif tetapi menurut al-Sakhawi terdapat beberapa “syawahid” pengukuhan )

7. Apabila Allah bercerita tentang nikmat bumi yang mati lalu dihidupkan oleh Allah dengan usaha pertanian dan perladangan, Allah turut menyebut tentang usaha-usaha hasil kemahiran tangan manusia. Allah berfirman

لِيَأْكُلُوا مِن ثَمَرِهِ وَمَا عَمِلَتْهُ أَيْدِيهِمْ ۖ أَفَلَا يَشْكُرُونَ (35)
“untuk mereka makan daripada buah-buahannya dan apa yang diusahakan oleh tangan-tangan mereka. Tidakkah mereka bersyukur?”
(Surah Yasin: 35)

8. Kemahiran al-Quran pula diangkat oleh Nabi (saw) menerusi sabda baginda:

الماهِرُ بالقرآنِ مع السفرَةِ الكرامِ البرَرَةِ
“Orang yang mahir dengan al-Quran bersama para Malaikat utusan yang mulia lagi taat”
(Hadis riwayat Muslim no 798)

Dalam riwayat Bukhari pula menyebut:

مَثَلُ الذي يَقْرَأُ القُرْآنَ وهو حافِظٌ له، مع السَّفَرَةِ الكِرامِ البَرَرَةِ
“Bandingan orang yang membaca al-Quran sedang dia menghafaznya bersama para Malaikat utusan yang mulia lagi taat”
(Hadis riwayat Bukhari no 4937)

Kedua-dua riwayat ini mengangkat kemuliaan penghafaz yang mahir al-Quran kerana hafazan memerlukan kemahiran otak dan akal yang tinggi beserta kesukaran dan kesusahan serta masa yang panjang.

9. Maka para penghafaz al-Quran yang mempunyai kemahiran teknikel mempunyai dua kemahiran yang dimuliakan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Justeru, usaha Kerajaan Perpaduan dengan tema Malaysia Madani mengangkat martabat TVET TAHFIZ adalah usaha yang sangat mulia ke arah menyuburkan lagi Islam di Malaysia.

Sekian.

Datuk Wira Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Penasihat Agama kepada YAB Timbalan Perdana Menteri

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit