Azleen Seru Golongan Muda Mahkota Bersama Gemilangkan Masa Depan Johor

KLUANG, 16 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor Noor Azleen Ambros menyeru golongan muda yang mewakili lebih separuh daripada pengundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota agar bersama memajukan masa depan negeri itu dengan lebih gemilang.

Menerusi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan itu sekarang, Noor Azleen berkata pihaknya akan menyampaikan mesej-mesej dan meyakini golongan tersebut bahawa negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berada di landasan tepat untuk Agenda Maju Johor 2030.

“Yang paling mustahak dalam kempen PRK Mahkota ini kita kena sampaikan mesej kepada mereka apa yang kita buat di Mahkota dan di negeri Johor khususnya, adalah untuk memastikan orang muda di Johor mempunyai masa depan yang sangat cerah dan boleh diharapkan untuk mereka terus tinggal di negeri ini.

“Mesej-mesej dan naratif seperti itu yang kita kena sampaikan supaya dapat bangkitkan keterujaan mereka untuk mengundi dan akhirnya dapat bersama-sama dengan kita dalam memberi sokongan dalam bentuk undi dan dapat sama-sama memajukan masa depan Johor yang lebih gemilang untuk semua,” ujarnya kepada UMNO Online.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu lalu dan pengundian awal pada 24 September manakala hari pengundian pada 28 September.

Barisan Nasional (BN) mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon.

Mengulas mengenai peluang yang diberikan oleh parti kepada golongan muda, sambil mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan, Noor Azleen juga berkata ia merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang perlu digalas sebaiknya.

“Pemuda UMNO Negeri Johor mengucapkan berbanyak terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pucuk pimpinan khususnya Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga kepada Menteri Besar (Onn Hafiz) yang telah memberi kepercayaan untuk mengemukakan calon Pemuda sebagai taruhan parti dalam PRK di Mahkota.

“Ini merupakan satu pengiktirafan besar dan seharusnya digalas dengan satu tanggungjawab dan amanah berat bagi Pemuda UMNO negeri, bagi pastikan kita kekalkan kemenangan di Mahkota.

“Sudah tentulah kita menganggap (ia) satu perkara yang sebenarnya besar dalam parti, yang hari ini semakin lama semakin mengiktiraf dan percaya kemampuan orang muda untuk mewakili parti,” katanya lagi.

Manakala berhubung dengan gerak kerja jentera, Noor Azleen berkata semua telah bersiap sedia sejak awal di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan berjalan mengikut perancangan.

“Sangat positif dan sangat teruja kerana kita bermula awal. Selepas selesai (PRK DUN) Nenggiri kita di Perhimpunan Agung UMNO. Balik dari Perhimpunan Agung UMNO kita terus mula buka PDM dan saya amat bergembira dengan perkembangan berkenaan kesiapsiagaan jentera seluruh peringkat dalam berhadapan dengan PRK ini.

“Nampak betul-betul bersedia, Alhamdulillah perjalanan dua hari berkempen berjalan seperti apa yang dirancang dan sudah tentulah kita mengharapkan moga-moga kita beroleh kemenangan pada 28 September nanti,” katanya.

Justeru itu, Noor Azleen mengucapkan terima kasih atas komitmen dan sumbangan seluruh jentera parti yang datang membantu jentera tempatan.

“Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh jentera yang bukan sahaja datang daripada luar bahagian Kluang, dari negeri Johor tetapi yang juga datang dari seluruh negara Malaysia termasuk Sabah.

“…yang sangat-sangat nak melihat kita dapat meneruskan momentum kemenangan di Nenggiri, diteruskan di Mahkota sebagai kita meneruskan siri kemenangan PRK untuk dibawa sampai ke pilihan raya umum (PRU), insya-Allah,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit