Teruskan Sokong Calon BN, Jangan Terperangkap Apa-apa Tohmahan Pembangkang – Saarani

KLUANG, 15 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menasihatkan para pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota untuk tidak terperangkap dengan apa-apa tohmahan yang sengaja diada-adakan oleh pihak pembangkang.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata demikian lantaran tempoh berkempen membuka tirainya semalam dengan perarakan lebih 15,000 jentera parti mengiringi calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah.

Katanya, pihak lawan tentunya akan cuba untuk mengalihkan tumpuan masyarakat daripada memilih calon BN dengan mencari kelemahan-kelemahannya dan juga keburukan kerajaan di sini.

“Dalam tempoh berkempen ini jangan terperangkap dengan apa-apa tohmahan yang sengaja diada-adakan oleh pihak pembangkang. Pembangunan di sini sudah ada. Tak ada isu di sini melainkan mereka ada sebab yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara segmen Hitam Putih Kelabu yang disiarkan menerusi laman Facebook UMNO Online, malam tadi.

Ujar Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, BN telah menawarkan calon terbaik yang lengkap untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Dalam mana-mana PRK, susuk tubuh calon parti adalah daya penarik untuk mempengaruhi pengundi. Calon BN ini adalah calon yang baik, cukup syarat dan berkelayakan, maka kepada pengundi Mahkota jika inginkan calon atau wakil rakyat untuk DUN ini maka ini adalah cukup baik.

“Apa yang kita nakkan dalam pemilihan calon… calon BN ini ada jangka masa yang panjang untuk berkhidmat, berkelayakan dalam perniagaan, ada kerjaya dan ada pengalaman dalam politik. Itu cukup syarat, sama ada orang UMNO atau bukan tapi ini adalah yang terbaik untuk menjadi calon BN di Mahkota.”

“Ini adalah tokoh muda yang diharapkan untuk memberi kesinambungan kepada kemenangan parti.”

Ujarnya, kemenangan bagi calon BN adalah penting bukan hanya untuk meneruskan momentum positif bagi PRK Nenggiri sebelum ini.

“Kemenangan ini memang untuk meneruskan momentum di Nenggiri, saya percaya calon ini juga adalah yang terbaik bahawa di luar sana pengundi-pengundi muda sudah ramai yang terlibat.

“Di Nenggiri kita nak merampas kerusi yang dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN) jadi semangatnya kuat kerana kita ingin merampas menjadi milik kita tapi di DUN Mahkota kita nak mengekalkannya.

“Ini maruah parti kita, berjaya merampas DUN Nenggiri memberikan semangat kepada kita juga untuk mengekalkan DUN Mahkota adalah maruah parti kita.

“Kita telah menjadi kerajaan jadi takkanlah pengundi nak menjadikan DUN ini sebagai pembangkang pula. Pembangunan yang dibuat perlu ada kesinambungan, maka perlu ada wakil rakyat untuk terus membawa kemajuan dan menyambung pembangunan kepada kawasan ini.”

Justeru beliau berpesan kepada para pengundi DUN Mahkota untuk tidak ragu dan memastikan kemenangan lebih besar kepada calon BN pada hari pengundian kelak.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 Sept ini, menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,168 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit