‘Respon Positif Orang Mahkota, Terima Kehadiran Syed Hussien’ – Onn Hafiz

KLUANG, 15 Sept – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluahkan kesyukuran dengan respon positif penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan kehadiran calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah.

Menurut beliau ia dapat dilihat ketika kempen Syed Hussien yang menemui rakyat pada sesi ‘walkabout’ yang dilakukan hari ini di sekitar kawasan Taman Berlian di sini.

“Alhamdulillah respon sangat positif kerana Syed Hussien ini anak watan dan membesar di sini ramai yang kenal dia kerana sekolah di sini, berniaga dan sebagainya.

“Memang beliau dan DUN Mahkota ada keserasian. Saya ucap terima kasih kepada jentera, terutama kepada rakyat di DUN Mahkota ini sangat mesra dengan calon.

“Insya-Allah perjuangan akan diteruskan banyak lagi masa untuk kempen ini, jadi kita akan terus gerakkan supaya rakyat di DUN Mahkota ini disantuni,” katanya.

Onn Hafiz berkata demikian ketika ditemui media pada kempen ‘walkabout’ sekitar Taman Sri Kluang dan menemui peniaga di sekitar kawasan tersebut termasuk Target Supermarket, di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu turut sama merakamkan penghargaan kepada keseluruhan jentera UMNO/BN yang komited berkempen bagi menemui seramai mungkin pengundi.

“Alhamdulillah gerak kerja kempen adalah pada tahap terbaik di mana jentera-jentera bersemangat gerak bersama calon pergi rumah, kedai, pasar raya Target.

“Dibantu pula kawan-kawan daripada UMNO bahagian di peringkat negeri dan bahagian,” ujar beliau.

Pilihan Raya Kecil DUN Mahkota ini menyaksikan BN mempertaruhkan Syed Hussien, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, manakala Perikatan Nasional (PN) diwakili bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.