Nilai Potensi Syed Hussien, Mampu Bawa Suara Orang Mahkota – Shamsul Anuar

KLUANG, 15 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berharap rakyat melihat potensi yang ada pada calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah yang diketengahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam membawa suara mereka.

Jelas beliau ini kerana beliau percaya dengan komitmen Syed Hussien yang bukan hanya membela nasib anak muda bahkan keseluruhan rakyat di kawasan ini.

“Calon muda bukan bermakna perkhidmatan hanya kepada orang muda tapi kepada rakyat.

“Tentu saja tenaga, idea, kekuatannya ada, dia akan boleh memberi kekhidmatan kepada rakyat di dalam Mahkota secara keseluruhannya dan insya-Allah menjadi kemungkinan baik ini tawaran terbaik kepada rakyat,” katanya.

Dr Shamsul berkata demikian selepas ditemui melakukan ziarah kasih bersama jentera Wanita UMNO, diketuai Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam pada itu berkata kemeriahan pada penamaan calon yang berlangsung pada Sabtu membawa manifestasi tersendiri kepada semangat kerjasama dalam melaksanakan gerak kerja kempen selama dua minggu ini.

“Gambaran di situ jelas menampakkan memihak kepada BN namun demikian kepada jentera parti itu bukan ukurannya sebaliknya ialah sejauh mana kita dapat undi terbanyak pada 28 September ini.

“Sebab itu kerja mesti dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh. Jangan kita anggap kemenangan Nenggiri itu akan berlaku dengan mudah di sini.

“Walaupun secara dasarnya kita yakin akan menang di sini tapi kita kena bekerja kuat mendekati seluruh kelompok dan seluruh kumpulan,” ujar beliau.

Mengulas lanjut berkenaan kempen dari rumah ke rumah yang dilakukan beliau berkata ia sememangnya sinonim dengan UMNO/BN, bagi mendekatkan diri dengan masyarakat.

“Ini sebahagian daripada amalan biasa bukan perkara baru kepada UMNO… kerana UMNO memang parti yang sentiasa mendekati dan membantu rakyat. Bukan hanya di ketika pilihan raya, malah ia sentiasa dilakukan sejak dulu lagi.

“… dan ketika kempen pilihan raya ini, memang kita bergerak rumah-rumah sebagai salah satu daripada strategi parti. Untuk terus mendekati pengundi bertanya khabar serta sudah menyelami apa juga isu dan masalah apa juga isu dan masalah rakyat,” katanya lagi.

Untuk rekod PRK ini menyaksikan satu lawan satu di antara calon BN, Syed Hussein, 40, menentang calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.