PRK Mahkota: Tok Mat Hasan Pesan Jentera Jangan Ambil Mudah Kemenangan Lalu

KLUANG, 15 Sept – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berpesan kepada jentera agar jangan mengambil mudah dengan kemenangan besar parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Kata Timbalan Presiden UMNO itu, selain menyantuni pengundi, jentera juga mesti menjaga tata tertib serta berhemah dalam berkempen.

“Jentera mesti menyantuni seramai mungkin pengundi. Tetapi nasihat saya dalam kita berkempen, jaga tata tertib, jangan merosakkan bahan kempen sendiri atau lawan.

“Saya lihat pilihan raya di Mahkota ini tenang… dalam ketenangan jangan sangka tidak ada buaya, jadi berhati-hati. Jangan ingat menang lima ribu masa pilihan raya negeri dulu boleh kekalkan, banyak yang kata boleh menang lebih.

“Bekerja kuat kerana setiap pilihan raya berbeza, di (DUN) Nenggiri lain, di sini lain… lain permainan, lain padang. Jadi kita perlu sentiasa bekerja kuat sehinggalah sampai ke tengah malam pada keesokan harinya kita membuang undi,” katanya kepada UMNO Online.

Mohamad yang juga Menteri Luar ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama jentera parti di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu I, di sini, tengah hari Sabtu.

Pada sebelah pagi, berlangsung proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah menentang calon daripada parti Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

Seterusnya, Mohamad menyeru kepada semua pengundi di DUN Mahkota agar memilih BN demi kepentingan mereka kelak.

“Kepada pengundi-pengundi di DUN Mahkota saya mohon supaya berikan sokongan kepada Barisan Nasional untuk kita mengekalkan kerusi ini dan meneruskan apa jua rancangan-rancangan yang sedang dilakukan oleh Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah dulu untuk (diteruskan) oleh Syed.

“Dan adalah amat senang, mudah jika diwakili oleh wakil rakyat yang sama dengan kerajaan negeri dan juga Kerajaan Persekutuan,” serunya.

Jelasnya juga, perlu disemat bahawa dalam pilihan raya yang bertanding adalah parti dan bukan atas tiket individu.

“Menang parti dapat tubuh kerajaan, kalah parti tak dapat tubuh kerajaan. Jadi itu penting. Kadang-kadang kita terbawa-bawa dengan emosi kita tak dapat jadi calon atau rakan kita tak dapat jadi calon kita marah tapi kita lupa bahawa dalam DUN Mahkota ini Barisan Nasional ditentang oleh Perikatan Nasional.

“Jadi tak timbul Syed Hussien lawan Haizan… Barisan Nasional lawan Perikatan Nasional. Jadi kepada semua terutama orang UMNO, penyokong UMNO, Barisan Nasional pastikan sokongan kita berterusan dan bagilah sokongan kepada Barisan Nasional.

“Kepada pengundi atas pagar kita mesti memilih calon yang bersama dengan kerajaan kerana tiadafaedahnya jika kita mengundi calon yang nanti bakal menang tetapi tidak bersama dengan kerajaan, susah juga kita nak membawa suara-suara rakyat dari kawasan Mahkota ini, insya-Allah,” katanya.

Dalam gerak kerja kempen, pada sebelah petang pula Mohamad turut turun padang bagi sesi ‘walkabout’ di sekitar PDM Kampung Melayu I seperti di Cawangan Bunga Raya, Cawangan Rumah Murah Kluang I dan Cawangan Jalan Orked.– UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit