Kerajaan Negeri Dan Pusat Seiring Bangunkan DUN Mahkota – Onn Hafiz

KLUANG, 15 Sept – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pelbagai usaha sama ada yang telah dilaksanakan atau dalam perancangan di negeri itu melibatkan kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Oleh kerana itu kata Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota itu, kemenangan BN sebagai wakil Kerajaan Perpaduan amat penting untuk kepentingan rakyat di kawasan itu.

“Pilihan raya kecil ini bukan pilihan raya yang biasa, kerana kita semua sedia maklum banyak perancangan, pembangunan, infrastruktur telah dan sedang dibuat oleh kerajaan negeri bersama dengan kerajaan Persekutuan.

“Mesej yang lebih penting apa yang kita nak buat untuk DUN Mahkota,” katanya dalam ucapan ringkas di majlis pelancaran Pusat Operasi Perpaduan di sini, Sabtu yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama Setiausaha Agung Dap Anthony Loke, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor Aminolhuda Hassan.

Turut hadir calon BN Syed Hussien Syed Abdullah.

Jelas Onn Hafiz lagi, semangat perpaduan yang wujud dalam kalangan rakyat di negeri itu perlu dikekalkan tanpa mengira kaum dan agama.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK ini menyaksikan saingan dua penjuru di antara Syed Hussien dan Mohamad Haizan Jaafar dari Perikatan Nasional (PN).

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

SPR memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit