PRK DUN Mahkota Buka Tirai Pagi Ini

KLUANG, 14 Sept – Gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota membuka tirainya hari ini, dengan berlangsungnya proses penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini.

Proses penamaan calon bermula pada 9 pagi dengan mereka yang berhasrat bertanding mempunyai masa sejam untuk mengemukakan borang pencalonan, sebelum nama calon yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Azurawati Wahid, dijangkakan sekitar 11 pagi.

Selepas itu, calon terlibat mempunyai tempoh 14 hari untuk berkempen bagi meraih sokongan, iaitu sehingga 11.59 malam 27 Sept ini, diikuti hari pengundian pada 28 Sept manakala undi awal ditetapkan pada 24 Sept.

DUN Mahkota merupakan satu daripada dua DUN di bawah Parlimen Kluang.

Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai wakil kerajaan Perpaduan pada PRK itu, manakala Perikatan Nasional (PN) memilih bekas pemain bola sepak Johor FA Mohamad Haizan Jaafar, 61.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.

Sehubungan itu, SPR membuka tiga pusat mengundi dengan 11 saluran bagi pengundian awal, manakala 20 pusat mengundi dengan 109 saluran akan dibuka pada hari pengundian, dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu seramai 1,126 orang.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Ini adalah PRK ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK DUN Sg Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan). – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.