#MahkotaKita: Lautan Biru… Lebih 15 Ribu Penyokong Parti Iringi Calon BN

KLUANG, 14 Sept – Gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bermula hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini.

Seawal jam 7 pagi, penyokong dan jentera Barisan Nasional (BN) dan parti Kerajaan Perpaduan mula berhimpun di sepanjang Jalan Hashim – Jalan Mengkibol, sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan keselamatan.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama pimpinan pusat dan negeri serta rakan parti Kerajaan Perpaduan berarak mengiringi calon BN Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah dari tempat berhimpun itu hingga ke pusat penamaan calon.

Lebih 15,000 penyokong BN dan Pakatan Harapan (PH) telah hadir untuk memberikan sokongan yang padu kepada calon Kerajaan Perpaduan ini dalam penuh suasana harmoni dan meriah.

UMNO Online turut menyiarkannya secara langsung di laman Facebook rasminya.

Cuaca pada awal pagi tadi mula kelihatan mendung dan kembali cerah sekitar jam 9.15 pagi.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Ini adalah PRK ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK DUN Sg Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan). – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit