Sudah Tiba Masa Pemuda Pas Minta Kemudi PN Letak Jawatan – Mohd Razlan

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berpandangan bahawa sudah tiba masanya untuk Pemuda Pas meminta Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

Jelasnya, Pemuda Pas diibaratkan seperti ‘jantan tidak cukup sifat’ kerana hanya mampu ‘mengacau’ apabila kerajaan sedang sibuk untuk mencari jalan tuntas bagi menyelesaikan masalah rakyat.

“Jika sifat seorang pemuda gagah berpencak silat, atur langkahnya pasti garang seperti seorang panglima tanpa ada gerakan ‘sumbang’ menanti lawan menyerang. Tetapi pemuda yang satu ini pun teringin beradu kekuatan malangnya gemar memukul curi dari belakang tatkala lawannya sibuk mempersembahkan gerak ‘bunga’.

“Pemuda jenis nak menang percuma tanpa berjuang lebih ini memang wujud dalam masyarakat kita hari ini. Jika berucap di hadapan pentas, habis semua ayat pendekar tujuh lapis langit diucapkan beserta dalil turut dipetiknya umpama jika dihimpunkan satu kampung boleh ditewaskan.

“Tetapi apabila turun ke gelanggang, hilang semua langkah silat dan bunyi jantannya. Hanya cacian serta makian dihamburkan berulang kali sambil batu-batu kecil dijadikan senjatanya dilempar ke arah lawan tanpa ada pertembungan sentuhan fizikal. Begitulah ‘jantan tak cukup sifat’,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tegasnya, empat sebab yang dibentangkan oleh mereka agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan hanya bersifat politik semata-mata.

“Pemuda Pas tidak perlu pun membuat gesaan sebulat suara menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) meletakkan jawatan hari ini kerana empat sebab yang dibentangkan Pas hanyalah bersifat politik.

“Yakinlah bahawasanya PMX bersama jemaah menteri sedang melaksanakan amanah dan tanggungjawab memacu negara ke satu keadaan ekonomi yang lebih stabil dan lebih berdaya saing.

“Pemuda Pas wajar renung dan ingat kembali ketika zaman pemerintahan PN sebelum ini, kepimpinan ketika itu yang turut dianggotai Pas amat cacamarba, Dewan Rakyat diisytiharkan darurat ‘politik’ ; tidak dibenarkan bersidang mahupun meluluskan sebarang peruntukan tertentu ketika pandemik COVID-19,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh mempersoalkan di manakah suara Pemuda Pas ketika krisis COVID-19 yang memperlihatkan kesusahan rakyat.

“Ditambah lagi dengan nasib rakyat ibarat telur di hujung tanduk. Namun berkat usaha pelbagai gerakan bersama daripada rakyat di bawah telah ‘menyelamatkan’ mereka yang mengibarkan kain putih di kediaman ketika itu berjaya mewujudkan suasana #KitaJagaKita.

“Perkara ini terjadi kerana kerajaannya masih wujud tetapi hanya boleh dilihat melalui kaca televisyen saja sambil mengumumkan pelbagai jenis perintah kawalan pergerakan rakyat.

“Di mana suara Pas ketika itu terutamanya Pemuda Pas? Kami faham sekiranya Pemuda Pas terlalu walak dan tidak mahu bersuara disebabkan hal tertentu sehingga nyawa rakyat menjadi taruhan kerana bantuan disampaikan untuk yang terpilih,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau juga berpandangan bahawa politik ugut mengugut wajar ditolak oleh rakyat dan mentaliti pembangkang harus berubah mengikut zaman.

“Ibarat ayam betina cuba berkokok di dalam reban sendiri, anak-anak ayam juga turut cuba ikut berkokok tapi lain bunyinya. Seharusnya hari ini, pemimpin Pas semakin menunjukkan sifat matang mereka memimpin anak-anak muda di dalam parti mereka.

“Politik ugut mengugut sekiranya permintaan tidak dipenuhi, wajar ditolak oleh rakyat. Mentaliti sebagai pembangkang juga harus berubah seiring dengan peredaran zaman. Tidak semestinya setiap penolakan permintaan harus diakhiri dengan demontrasi di atas jalan raya.

“Mungkin sudah tiba masanya Pemuda Pas meminta kemudi PN yang terpalit dengan Projek Janawibawa untuk meletak jawatan, ditukar dengan Presiden Pas, walaupun umum tahu Presiden mendapat gaji buta, sekurang-kurangnya alasan yang digunakan untuk meminta Perdana Menteri meletak jawatan nampan konsisten,” katanya lagi.

Pada Jumaat media melaporkan Pemuda Pas telah meluluskan usul bagi mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletakkan jawatannya atau diturunkan dengan kadar segera.

Usul tersebut dibawa dan dibentangkan perwakilan Pemuda Pas Kawasan Tambun, Abdul Abidi Mohd Maznan yang kemudiannya dibahas dan diluluskan dengan sebulat suara.

Dalam pembentangannya Abdul Abidi antara lain berkata tujuan usul tersebut bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat, dan negara perlu memiliki kepimpinan baharu yang benar-benar kompeten serta mempunyai akauntabiliti untuk menyelesaikan masalah rakyat. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.