PRK Mahkota Penting Untuk UMNO/BN Kekalkan Momentum Kemenangan – Jailani

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jailani Johari menyifatkan kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sebagai penting dalam mengekalkan momentum sokongan rakyat dan perpaduan akar umbi parti, pasca PRK Nenggiri dan Perhimpunan Agung UMNO 2024.

Malah kata beliau, DUN Mahkota juga perlu untuk berada di bawah BN bagi memastikan perjuangan membawa pembangunan dilakukan penyandang, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain di kawasan ini diteruskan.

“Kemenangan ni penting terutamanya demi maruah parti UMNO sendiri dan juga BN. Seperti dilihat kemenangan di Nenggeri itu membawa manifestasi tersendiri dan pada PAU gelombangnya lain macam.

“Saya juga percaya dengan kekuatan jentera UMNO dan BN yang penting kita kena menang.

“Kalau kita lihat macam di Nenggeri baru-baru ini kan walaupun kerusi itu penyandangnya bukan BN, tapi ia dapat dijemahkan dengan kemenangan besar dan saya percaya lebih lagi kita di PRK Mahkota kerana itu kerusi BN dan tidak memungkinkan tidak boleh menang,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Jailani yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam pada itu berkata, PRK ini juga sebagai platform awal bagi menghadapi pilihan raya seterusnya termasuk di Sabah.

“Kerana ini adalah satu benda yang kita harus terjemahkan terutamanya pada PRK yang akan datang ni lah selepas ini akan menjurus balik kepada PRN di Sabah, Sarawak dan lepas tu di negeri-negeri berkaitan sehinggalah pada PRU16.

“Jadi pentingnya apabila kita menang di PRK Mahkota ni akan diterjemahkan di PRN dan PRU yang akan datang,” ujar beliau.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya itu pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.

BN pada pengumuman minggu lalu mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40 sebagai calon bagi pilihan raya tersebut. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.