Mahkota Perlu Kekal Benteng Kekuatan Dan Kemakmuran – Fariz Hazurin

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota merupakan satu agenda penting yang akan menentukan hala tuju politik dan pembangunan di kawasan ini untuk tahun-tahun mendatang.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata ia bukan sahaja mengenai pemilihan seorang wakil rakyat, tetapi juga mengenai memilih masa depan yang lebih baik untuk DUN Mahkota.

“Ini adalah masa untuk bangkit dan berjuang demi memastikan DUN Mahkota kekal menjadi benteng kekuatan dan kemakmuran untuk semua lapisan masyarakat.

“Saya yakin bahawa dengan kerjasama dan semangat kesatuan yang kukuh dikalangan kita mampu mencapai kejayaan besar dalam PRK ini dan memastikan DUN Mahkota terus berkembang maju serta dihormati oleh semua pihak.

“Ini adalah penting untuk semua bersama-sama memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di DUN Mahkota demi masa depan yang lebih cerah dan gemilang untuk semua,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang menjelaskan kemenangan dalam PRK akan membuktikan bahawa BN sentiasa relevan dan terus mendapat kepercayaan daripada rakyat untuk menerajui kawasan ini ke arah yang lebih baik.

“Saya yakin beliau berupaya membawa perubahan positif dan kemajuan yang lebih bermakna kepada DUN Mahkota dan juga menyeru kepada semua jentera parti untuk bersatu padu dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon BN dalam PRK ini.

“Kita harus sedar bahawa PRK ini bukan sekadar satu pilihan raya biasa, tetapi ia adalah satu peluang terbaik untuk mempertahankan DUN Mahkota di bawah pimpinan BN dan meneruskan legasi kecemerlangan yang telah dibina oleh pemimpin terdahulu.

“Pengundi di DUN Mahkota dapat memberikan sokongan penuh kepada beliau (Syed Hussien) pada hari mengundi nanti. Marilah bersama-sama bergerak ke hadapan dengan penuh keyakinan, tekad, dan semangat juang yang tinggi.

Pada masa yang sama kata Fariz Hazurin lagi, pemilihan Syed Hussien sebagai calon adalah satu langkah yang bijak dan tepat, memandangkan pengalaman beliau yang luas selama lebih 10 tahun sebagai ahli UMNO, di samping sumbangan beliau sebagai ahli Majlis Perbandaran Kluang.

“Pengalaman beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang turut menunjukkan beliau seorang pemimpin muda yang dinamik dan bersemangat dalam memperjuangkan visi dan misi parti.

“Ini adalah bukti bahawa kepimpinan di peringkat bahagian telah membuat keputusan yang terbaik dengan mencalonkan beliau sebagai wakil BN di DUN Mahkota.

“Sebagai seorang yang aktif dalam arena politik tempatan, Syed Hussien telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat, khususnya di DUN Mahkota,” ujarnya.

Ujarnya lagi, beliau mempunyai rekod prestasi yang cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dan sentiasa bekerja keras demi kebaikan komuniti. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.