Isu GISBH: Puteri UMNO Gesa Hukuman Setimpal Dijatuhkan Terhadap Pelaku

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menggesa agar hukuman setimpal dijatuhkan kepada pelaku sekiranya kontroversi yang terpalit ke atas Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) adalah benar.

Tegasnya, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia memandang serius isu tersebut dah berharap agar satu siasatan terperinci dapat dijalankan untuk mengumpul bukti-bukti kukuh.

“Siasatan pihak polis yang telah tular bermula semalam terhadap syarikat GISBH amat mengejutkan.

“Menurut laporan, para penghuni termasuk wanita, remaja dan kanak kanak telah diajar meliwat dan bersetubuh, dan badan mangsa akan didera serta disakiti sebagai hukuman.

“Pergerakan Puteri UMNO Malaysia memandang isu ini dengan sangat serius dan berharap suatu siasatan terperinci dapat dijalankan untuk mengumpul bukti-bukti konkrit yang boleh menyokong satu sabitan bagi kesalahan mengeksploitasi kanak-kanak dan wanita,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan semua pihak untuk tidak membiarkan gejala tidak bermoral itu menjadi kebiasaan dan berharap seluruh masyarakat bekerjasama membanterasnya.

“Puteri UMNO Malaysia juga amat berharap hukuman setimpal dijatuhkan terhadap mereka yang bertanggungjawab susulan sabitan sedemikian.

“Jangan biarkan gejala tidak bermoral ini menjadi satu kebiasaan, malah sebagai rakyat Malaysia kita perlu bersatu hati untuk bersama mencegah kegiatan sebegini dari berlaku di kalangan kita.

“Semoga penghuni yang dianiayai mendapat pembelaan seadil-adilnya,” katanya lagi.

Pada Rabu media melaporkan siasatan polis mendapati modus operandi yang dilakukan di rumah amal dikaitkan GISBH adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Dalam Op Global dijalankan antara jam 6-11 pagi itu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.