Isu Eksploitasi Kanak-Kanak Perlu Diambil Tindakan Tegas – Bibi Sharliza

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Presiden Pertubuhan Generasi Aspirasi Pemimpin Wanita Malaysia (GAP.MY), Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid melihat pendedahan mengenai eksploitasi kanak-kanak dan remaja yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB), suatu kejadian yang benar-benar menimbulkan kebimbangan mendalam terhadap hak dan kesejahteraan kanak-kanak dan remaja pada masa ini.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, insiden ini merupakan satu tamparan keras kepada nilai-nilai kemanusiaan dan agama yang sepatutnya melindungi golongan yang paling rentan dalam masyarakat kita, terutama sekali kanak-kanak.

“Kanak-kanak adalah amanah yang perlu dijaga, dilindungi, dan diberikan pendidikan yang seimbang. Sebarang bentuk eksploitasi, terutamanya yang berlaku di institusi yang dikaitkan dengan keagamaan, adalah sangat mengkhuatirkan dan tidak boleh dibiarkan berterusan. Kegagalan melindungi kanak-kanak daripada dieksploitasi adalah satu pengkhianatan besar kepada kepercayaan dan tanggungjawab kita sebagai masyarakat.

“Kanak-kanak tidak sepatutnya dijadikan alat untuk mencapai kepentingan peribadi atau ekonomi mana-mana pihak. Tugas kita sebagai pemimpin dan masyarakat adalah untuk melindungi mereka daripada menjadi mangsa eksploitasi.

“Kegagalan untuk melakukannya adalah satu penghinaan terhadap nilai-nilai kemanusiaan kita. Kanak-kanak harus diberikan hak mereka untuk mempunyai pendidikan dan hidup dalam persekitaran yang selamat dan positif, tanpa rasa takut atau tertindas,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Katanya lagi pendedahan bahawa premis-premis yang terlibat dalam aktiviti GISB menggunakan kanak-kanak bagi tujuan yang bertentangan dengan hak dan kesejahteraan mereka adalah amat mengecewakan.

Tambahnya lagi, apa yang lebih mengejutkan ialah eksploitasi ini berlaku di bawah naungan institusi yang sepatutnya berperanan mendidik, menjaga kebajikan, dan melindungi mereka dan difahamkan mereka adalah golongan orang-orang agama.

“Kita tidak boleh membiarkan mana-mana pihak mengambil kesempatan terhadap mangsa, lebih-lebih lagi apabila mereka menggunakan nama agama sebagai perisai untuk tindakan tidak bermoral ini.

“Terima Kasih kepada PDRM dan Agensi Penguatkuasaan yang Terlibat – OPS GLOBAL. Saya mewakili Pertubuhan Generasi Aspirasi Pemimpin Wanita Malaysia (GAP.MY) ingin mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menjalankan Ops Global dengan cekap dan berkesan, yang berjaya menyelamatkan 402 orang kanak-kanak dan remaja serta menahan 171 individu yang dipercayai terlibat dalam isu eksploitasi ini.

“Operasi yang melibatkan serbuan ke atas 20 premis GISB di Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain ini adalah satu langkah penting dalam membongkar aktiviti tidak bermoral ini. Usaha keras pihak berkuasa adalah bukti nyata komitmen mereka dalam melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk eksploitasi,” ujarnya.

Namun, ujar beliau lagi, ini hanyalah permulaan dan ianya  tidak boleh berhenti malah siasatan yang lebih mendalam perlu diteruskan untuk memastikan setiap sudut eksploitasi ini ditangani dengan teliti.

“Saya menyeru agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut memainkan peranan aktif dalam siasatan ini, terutama dalam memastikan premis-premis yang menggunakan nama agama atau pendidikan agama dipantau dengan lebih ketat – terutama sekali institusi pendidikan dan kebajikan yang melibatkan kanak-kanak.

“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan dan kebajikan kanak-kanak. Setiap premis yang terlibat mesti melalui pemeriksaan yang ketat dan rapi untuk memastikan tiada unsur penderaan, eksploitasi, atau manipulasi agama yang berleluasa seperti yang tular dalam media sosial kini.

“Penting untuk kita mengambil pendekatan yang teliti dalam menangani isu ini. Walaupun serbuan telah dilakukan dan individu-individu terlibat telah ditahan, kita perlu memastikan bahawa proses siasatan diteruskan dengan penuh ketelusan dan segala bukti yang dikumpul disemak dengan adil. Ini termasuk memastikan kanak-kanak yang terlibat diberi perhatian dan dilindungi sepanjang proses ini,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama kata beliau lagi, kejadian eksploitasi ini yang turut melibatkan premis di Negeri Sembilan diharap langkah-langkah proaktif untuk memantau dan menyiasat premis-premis yang terlibat boleh diambil oleh pihak-pihak tertentu.

Tegas beliau tidak ada ruang untuk eksploitasi kanak-kanak di Negeri Sembilan, apatah lagi di Juasseh malah akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak di kawasan Juasseh & Kuala Pilah terjamin.

“Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita mesti memastikan bahawa kanak-kanak di negara ini, terutama sekali di Negeri Sembilan, dilindungi secara berterusan. Pada masa yang sama, kita perlu memastikan juga bahawa siasatan berjalan dengan adil, dengan mempertimbangkan setiap bukti yang dikemukakan.

“Hentikan Eksploitasi…Kita perlu memastikan bahawa kanak-kanak yang telah menjadi mangsa eksploitasi menerima sokongan yang sepenuhnya, merangkumi dari segi perlindungan, pendidikan, serta bantuan dalam aspek mental dan emosi mereka. GAP.MY merupakan sebuah NGO dan komited untuk menawarkan bantuan kaunseling dan guaman kepada mangsa dan keluarga yang terlibat. Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan badan-badan berkaitan untuk memastikan kanak-kanak ini mendapat bantuan yang diperlukan untuk pulih daripada trauma ini.

“Sudah tentu, kita perlu gerak bersama dalam memfokuskan bantuan kepada mangsa dan Kami juga berharap agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dapat terlibat bersama-sama dan secara aktif dalam memantau proses siasatan, mengkaji punca utama peningkatan kes eksploitasi kanak-kanak yang dikaitkan dengan institusi keagamaan, serta memberikan rekomendasi kepada kerajaan untuk memastikan semua hak kanak-kanak dilindungi dan keadilan ditegakkan.

“Kami juga menggesa supaya usaha memperkasakan pendidikan seksualiti (CSE) yang komprehensif kepada anak-anak kita tentang sentuhan selamat atau sentuhan tidak selamat ditekankan dengan segera.Ini termasuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai hak mereka terhadap tubuh badan mereka, konsep autonomi badan, serta bagaimana mengenal pasti dan melaporkan sentuhan yang tidak selamat.”

Ujarnya, pendidikan ini bukan sahaja memberikan kanak-kanak pengetahuan asas tentang tubuh mereka, tetapi juga melindungi mereka daripada potensi ancaman penderaan seksual.

“Tambahan lagi, GAP.MY akan terus memperjuangkan hak kanak-kanak dan wanita untuk hidup dalam persekitaran yang selamat dan bebas daripada sebarang bentuk eksploitasi dan keganasan. Dan apabila kita gagal melindungi anak-anak kita, kita gagal sebagai sebuah negara, sebagai sebuah komuniti, dan sebagai sebuah masyarakat,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.