Bung Gesa Jentera UMNO/BN Pertingkatkan Tahap Kesiapsiagaan Hadapi PRN Sabah Ke-17

KOTA KINABALU, 13 Sept – Jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan agar mempertingkatkan lagi tahap Kesiapsiagaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, PRN ke-17 kini berada diambang pintu, walaupun tempoh DUN Sabah berakhir penghujung Disember tahun depan.

“Walaupun laporan hasil dari pemeriksaan disetiap bahagian menunjukkan kesiapsiagaan diperingkat akar umbi memuaskan, namun ianya perlu ditingkatkan, ini kerana ada beberapa perkara perlu penambahbaikan yang dilakukan sebelum PRN diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusi Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah di bangunan UMNO Sabah pada Isnin.

Sehubungan itu katanya, usaha untuk mengenal pasti jumlah ahli UMNO disetiap cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) perlu diperkemaskini segera.

“Ini termasuklah jumlah pengundi lain selain pembentukan jawatankuasa di peringkat PDM
yang dibentuk awal dan dikemaskini hanya menunggu masa untuk digerakkan sepenuhnya bagi menghadapi PRN.

Dalam pada itu Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mahu bahagian-bahagian UMNO di negeri ini, terus melaksanakan program-program menyantuni akar umbi selain membantu mereka yang memerlukan bantuan dan turut meninjau isu-isu pembangunan yang menjadi masalah kepada rakyat.

“Saya harap selain bahagian sayap-sayap utama Wanita, Pemuda dan Puteri perlu berjalan seiring dalam pelaksanaan program-program yang diadakan dalam erti kata budaya kerja berpasukan perlu diamalkan bagi menjamin kekuatan parti,” tegas Bung.

Dalam masa yang sama, UMNO Sabah terus menzahirkan sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika ini sedang menjalani hukuman.

Menurut Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan UMNO Sabah, berpegang teguh pada pendirian untuk meneruskan solidariti bersama Najib

“UMNO Sabah berharap pembebasan dan keadilan terhadap Najib diberikan pertimbangan sewajarnya atas segala jasa serta sumbangan beliau kepada negara.

“Pendirian ini penting bagi memastikan sistem kehakiman negara tidak terjejas dan hak Najib sebagai seorang warganegara Malaysia diberikan keadilan sewajarnya,” katanya.

Katanya, keadilan bukan semata-mata menentukan seseorang itu bersalah atau tidak tetapi setiap orang yang dituduh itu mesti mendapat perbicaraan yang adil dan mesti merasakan diberi perbicaraan yang adil.

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.