Ahli Akar Umbi Perlukan Maklumat Terkini Tangkis Tohmahan Parti Lawan – Hasan

ROMPIN, 13 Sept – Ketua UMNO Bahagian Rompin Datuk Seri Hasan Arifin berpandangan Jelajah Penerangan UMNO Malaysia adalah satu pendekatan yang cukup baik bagi menjelaskan kepada akar umbi mengenai isu-isu semasa.

Ini supaya katanya, ahli di cawangan mampu mendapat pelbagai info dan maklumat yang tepat daripada kepimpinan atasan parti serta hujah bagi menangkis segala serangan dan mainan persepsi parti lawan.

“Ini satu pendekatan yang paling baik. Di mana kepimpinan tertinggi UMNO harus menerangkan isu-isu semasa ke akar umbi dan saya percaya Penerangan UMNO mempunyai banyak maklumat, pendekatan serta taktikal bagaimana menghujah segala tohmahan, kempen-kempen negatif dan persepsi yang dilontarkan oleh parti pembangkang terutama di Kalangan Pas dan Bersatu.

“Jadi sesetengah cawangan tidak mempunyai maklumat terkini dan dengan kehadiran seperti ini dapat menjelaskan lebih jelas isu-isu semasa,” katanya kepada UMNO Online, ketika ditemui selepas siri Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Rompin, di Dewan Serbaguna Bandar Tun Razak, Keratong di sini baru-baru ini.

Jelajah Penerangan yang menghimpunkan jentera parti itu menampilkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO selaku Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia Datuk Lokman Noor Adam sebagai penceramah utama.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rompin Datuk Ir Razali Kassim yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah dan Ketua Wanita UMNO bahagian Datin Shamsiah Arshad.

Seterusnya ulas Hasan, siri penjelasan perlu dibuat secara berterusan dan kehadiran kepimpinan parti peringkat pusat mampu memberi semangat kepada akar umbi.

“Kadang-kala kita buat setahun sekali… tidak boleh. Paling kurang setahun dua kali kita mesti buat berkerap dan mesti secara konsisten, berterusan di seluruh negara.

“Dan kehadiran pemimpin di peringkat nasional juga boleh menaikkan semangat di kalangan pemimpin-pemimpin bawahan untuk terus berusaha memperkukuh dan memperbaiki UMNO,” katanya.

Manakala mengulas mengenai gerak kerja jenteranya, Hasan berkata UMNO Bahagian Rompin melancarkan gerak kerja merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam yang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jatuh ke tangan pihak lawan.

“Kita melancarkan gerakan tumpuan dalam DUN Bukit Ibam bagaimana cara kita nak merampas semula kerusi ini yang kita kalah dengan majoriti agak besar lebih dua ribu undi. Bagaimana kita dapat membuat gerak tumpu dan ini adalah salah satu kaedah memenangi semula.

“Sudah tentu matlamat utama mengembalikan Parlimen. Jadi gerakan tumpuan kita pergi ke DUN-DUN, DUN Bukit Ibam yang kita kalah, DUN Tioman dan DUN Muadzam Shah yang menang,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit