Agenda TVET Menarik Minat Golongan Muda

GELOMBANG sokongan generasi muda nampaknya terarah untuk memilih kestabilan dan kemakmuran yang sedia ada di negara ini. Ini dibuktikan dalam keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM), 85 peratus dimenangi oleh calon muda daripada Barisan Nasional.

Calon yang terpilih dan menang di Nenggiri dipilih berdasarkan merit oleh pengundi di sana. Pengundi nampaknya mulai cerdik dalam memilih. Kalau memilih tempat mandi, pertama teluk kedua pantai, pilih-pilih wakil sendiri, pertama elok kedua pandai. Azmawi menang dengan majoriti lebih 3,000 undi.

Momentum sokongan terhadap anak muda ini dijangka terus berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Makhkota. Pengundi mahukan calon yang bertenaga, boleh percaya dan mampu bekerja untuk mereka di kawasan. Inilah antara kenapa Syed Hussin terpilih sebagai calon di DUN Makhkota.

Banyak perkara yang dimahukan oleh anak muda hari ini. Terutamanya mereka yang baru keluar daripada menara gading, mereka mahu kerja. Itulah yang utama. Dalam mempersiapkan diri untuk menjadi calon pekerja yang cemerlang di mata majikan, anak muda ini perlu memperkemaskan diri mereka dengan kemahiran dan ilmu terkini yang diperlukan dalam industri.

‘Di sinilah peri pentingnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai kemahiran asas yang perlu ada pada setiap anak muda. TVET ini adalah padanan kemahiran kepada pasaran pekerjaan. TVET penting sebab ramai tenaga kerja tempatan tidak berkemahiran tinggi dalam bidang yang diperlukan oleh industri.

Apatah lagi selepas kemunculan model ekonomi baru seperti pekerjaan gig, ramai anak muda lebih memilih untuk terus bekerja dalam pasaran kerja gig berbanding melanjutkan pelajaran atau menambah kemahiran melalui TVET.

Fokus TVET adalah lebih kepada praktikal dan amali berbanding teori. Kenapa? Sebab teori tanpa praktikal memang tak berguna. Contohnya, industri jahitan perlukan orang yang boleh menjahit, bukan orang yang hanya tahu cakap tentang menjahit.’

Ini antara pandangan saya kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kemajuan Desa & Wilayah ketika Hari TVET Negara pada Jun 2024 di ciapan Aplikasi X.

Switzerland, Austria dan Jerman adalah antara negara yang terkehadapan dalam bidang TVET. Namun negara kita masih belum terlambat untuk menerokai bidang TVET ini. YB Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional pada hari ini telah menjadikan TVET ini sebagai agenda utama. Dalam kesemua ucapannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menjadikan TVET ini sebagai intipati utamanya.

Bila kerajaan memberikan perhatian, penekanan serius tentang isu anak muda dan ianya dilihat dekat dengan hati mereka, maka sokongan mereka akan datang. TVET ini adalah antara kenapa tarikan anak muda datang kembali kepada kerajaan yang menawarkan kestabilan dan kemakmuran.

Anak muda tidak mahu lagi terperangkap dengan mereka yang sekadar bermain persepi. Anak muda sudah bijak menilai berdasarkan prestasi. Kedudukan ringgit yang semakin mengukuh dan dasar-dasar kerajaan yang dibuat dengan cermat tatakelolanya pada ketika ini sudah mulai menampakan hasil.

Berbanding tahun lepas, kebolehpasaran pelajar yang mengikuti program TVET kini berada sekitar 97.4 peratus, hasil kolaborasi pemain industri dan institusi TVET. Meningkat berbanding 94.5 peratus yang dicatatkan tahun lepas. TVET yang dahulu dikenali dengan ILP dan IKBN sahaja kini sudah bercambah kepada 1,345 institusi TVET di Malaysia termasuklah 652 institusi TVET swasta.

Sebagai salah seorang pengendali syarikat latihan berasaskan TVET, saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah menjadikan agenda TVET ini sebagai agenda utama pembangunan anak muda di negara ini. Anak muda mestilah mengambil peluang yang terhidang ini untuk meneroka bidang TVET ini sebagai kerjaya mereka dalam dunia industri dan cabaran kepintaran buatan yang ada pada hari ini.

Tulisan :
Iskandar Danial Adam Adonis
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Shah Alam & Tenaga Pengajar Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit