‘Tun M Tak Bersama Pas/PN, Tapi Kenapa Dilantik Penasihat SG4?’ – Jailani

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jailani Johari mempersoal peranan Tun Mahathir Mohamad yang dilantik sebagai penasihat SG4 Group Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dianggotai empat buah negeri pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Jelas beliau, ini kerana Tun Mahathir tidak menganggotai parti-parti di bawah Perikatan Nasional (PN).

“Saya sendiri tertanya-tanya apakah peranan Tun Mahathir sebenarnya dalam syarikat ini? Kalau kita lihat adakah dia sebagai penasihat ke, ejen ke ataupun broker?

“Ya seperti diketahui beliau pun dia tidak bersama Pas, tidak bersama PPBM. Dia solo kan? Tapi tiba-tiba dilantik. Itu yang kita pelik kan?” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Kata Jailani lagi, tujuan penubuhan SG4 yang kononnya untuk meningkatkan ekonomi empat negeri itu melalui pelaburan juga dipersoal.

Menurut beliau ini kerana Pas sebelum ini lantang membantah operasi kilang memproses nadir bumi milik Lynas Sdn Bhd.

“Jadi kita faham macam projek pertama yang syarikat SG4 ni nak buat kononnya, dia nak bina kilang memproses nadir bumi kan?

“Dia melibatkan usaha sama dengan projek luar negara macam yang saya cakap dulu kita buat Lynas dengan Australia pun mengamuk Pas. Jadi di situ saya tak faham macam mana mereka hendak buat.

“Jadi siapa tak pasti adakah Mahathir nanti dia akan bawa projek-projek besar dan dia dapat insentif daripada projek-projek yang akan dibawa kerana masih tak jelas,” soal beliau.

Jailani yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam pada berkata tiada hala tuju dapat dilihat membabitkan manfaat syarikat tersebut, malahan percanggahan kenyataan daripada Tun Mahathir dan pemimpin PN juga mengelirukan rakyat.

“Saya tidak nampak hala tuju mereka, bagaimana nak dilakukan sebelum lihat kenyataan daripada MB Terengganu pun dah tahu kerana Terengganu memang ada hasil dan jika bandingkan dengan negeri-negeri seperti Perlis yang tidak ada hasil. Bagaimana nak kongsi keuntungan daripada hasil yang diterjemahkan?

“Saya tidak tahu bagaimana mereka akan mengagihkan keuntungan ataupun hasil yang mereka akan peroleh. Mungkin negeri-negeri yang mempunyai sumber yang lebih itu merasakan mereka berhak dapat lebih daripada negeri-negeri yang kurang.

“Jadi dari segi situ saya pun tidak nampak formula yang akan diterjemahkan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua Panel Penasihat SG4 Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, empat kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang, ditubuhkan bagi membolehkan hasil yang diperoleh negeri berkenaan diagihkan secara saksama.

Bagaimanapun Menteri Besar Terangganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hasil pendapatan tidak akan digabungkan ke dalam syarikat. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.