PRK Mahkota: Nak Menang Kena Ada Strategi… Teruskan Momentum Nenggiri – Md Israk
JOHOR BAHRU, 12 Sept – Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Md Israk Abdullah berkata UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu mengatur strategi terbaik untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Menurutnya, situasi di Mahkota sedikit berbeza dengan DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai yang telah menghadapi PRK pada tahun lalu.
“Saya ucapkan tahniah kepada Penerangan UMNO Malaysia yang mengadakan kursus Pengukuhan Komunikasi ini terutamanya dalam kita menghadapi PRK DUN Mahkota tidak lama lagi.
“Seperti yang kita tahu, setiap PRK berlainan sedikit (strateginya). Saya baru balik dari Nenggiri hampir dua minggu. Di sana kita menang dan kita menggerakkan keseluruhan jentera BN sepanjang tempoh berkempen.
“Di DUN Mahkota ini akan berbeza sedikit. Walaupun kita pernah mengalami PRK di Simpang Jeram dan Pulai, meskipun suasananya tidak jauh sangat dari segi kita berkempen. Cuma pada ketika itu kita rasa agak payah sedikit kerana kita membawa calon bukan dari parti kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO Negeri Johor, baru-baru ini.
Jelasnya, perjuangan UMNO yang dibawa oleh BN selama 60 tahun menyebabkan para pengundi parti itu tidak dapat menerima hakikat apabila terpaksa bekerjasama dengan pihak lawan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
“Pada kali ini pula Pakatan Harapan (PH) perlu membawa calon kita. Ia berbeza dengan situasi di PRK Simpang Jeram dan Pulai. Tapi dari segi kesusahan itu, saya rasa di Jeram dan Pulai lagi susah.
“Sebab kita nak meyakinkan ahli-ahli UMNO iaitu pengundi BN khususnya… apabila kita berkempen, ada sesetengah daripadanya belum mampu menerima PH pada ketika itu. Ini kerana majoritinya berpendapat sudah lebih 60 tahun BN memperjuangkan apa yang UMNO bawa namun pada akhirnya kita bekerjasama dengan musuh.
“Apa hujah yang kita perlu terangkan kepada mereka supaya mereka menyokong calon bukan BN. Walaupun kita mendapat kemenangan dalam kedua-dua PRK tersebut tetapi ketidakpastian dan kekeliruan ahli UMNO amat ketara sekali,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berdoa supaya UMNO/BN dapat memperoleh kemenangan pada PRK DUN Mahkota yang akan berlangsung bermula minggu hadapan.
“Jadi saya harapkan kita berdoa supaya kita menang di Mahkota. Kita akan pastikan Mahkota terus kekal menjadi milik BN. Di Johor kita ada 40 kerusi sahaja maka tanggungjawab kita semua sekiranya mahu kembali menjadi dominan… pertamanya kita perlu kukuhkan parti.
“Kedua, kita perlu kuatkan di peringkat akar umbi dan seterusnya kita perlu bekerja kuat. Insya-Allah kita dah bersedia untuk berjuang balik dan kita pastikan juga para pengundi tahu bahawa Kerajaan BN tidak pernah jemu membantu mereka. Itu yang paling penting,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 27 September.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu. – UMNO Online